SINGAPURA – Sebuah mahkamah di Singapura menjatuhi hukuman penjara 20 minggu terhadap seorang pembantu rumah kerana menumbuk dan menampar wanita berusia 101 tahun di bawah jagaannya, lapor portal berita AsiaOne hari ini.
Aye Aye Aung yang turut meletakkan pita pelekat pada mulut warga emas itu, mengaku bersalah atas dua pertuduhan menyebabkan kecederaan secara sengaja.
Penolong Pendakwa Raya Chye Jer Yuan berkata, rakaman sistem televisyen litar tertutup bertarikh 23 Februari lalu merakam pelbagai penderaan yang dilakukan oleh Aye Aung selama kira-kira 30 minit.
Pembantu rumah tersebut menumbuk pinggang mangsa menyebabkan dia menjerit kesakitan sebelum mengikat tangannya pada katil.
Aye Aung menutup mulut mangsa menggunakan pita pelekat untuk menghalangnya daripada meraung.
Kejadian itu terbongkar selepas cucu perempuan mangsa yang berusia 43 tahun menerima mesej daripada ibu saudaranya pada 27 Februari lalu yang memaklumkan bahawa dia akan menghantar video Aye Aung menyerang mangsa secara fizikal. – AGENSI