JAKARTA – Suara pencipta kandungan media sosial dikenali sebagai Mimir Peri digunakan secara meluas untuk mengejutkan orang Islam supaya bangun sahur semasa bulan Ramadan, lapor portal berita TribunJatim.com hari ini.
Dia mendapat bayaran sehingga 20 juta rupiah (RM5,952) bagi tujuan tersebut. Mimi Peri menjual rakaman suaranya sebagai penggera untuk mengejutkan pelanggan atau pemilik telefon bimbit agar bangun bersahur.
Malah, Mimi Peri mampu membeli telefon bimbit baharu, iPhone 15 pada hari pertama umat Islam berpuasa di Indonesia.
“Waktu pertama sahur sampai 30 (tempahan). Sehinggakan saya dapat membeli iPhone 15,” kata Mimi Peri ketika ditemu bual dalam program Pagi Pagi Ambyar di saluran televisyen TRANS TV.
Selain rakaman video yang dilanggan oleh pelanggannya untuk dikejutkan, Mimi Peri juga pernah diundang untuk mengejutkan pelanggan secara langsung.
Ia menyaksikan Mimi Peri datang ke rumah pelanggan tersebut untuk mengejutkan mereka bangun bersahur. Dia mendapat bayaran lumayan atas khidmat tersebut.
“Kadang-kadang ada permintaan ke rumah-rumah orang kaya, saya diberi wang 20 juta rupiah untuk datang mengejutkan sekeluarga (makan sahur),” kata Mimi Peri. – AGENSI