PENGENDALI Harimau Malaya, Kim Pan-gon percaya prestasi skuad negara akan kembali ke tahap lebih baik sebaik saingan liga domestik bermula pada Mei nanti sekali gus bakal membantu meningkatkan tahap kecergasan pemain.
Dua kekalahan yang ditanggung ketika bertemu Oman pada aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 jelas menunjukkan Harimau Malaya berdepan masalah selepas kali terakhir para pemain beraksi dalam saingan kompetitif pada Piala Asia Januari lalu.
“Dalam bola sepak, selepas perlawanan kita boleh bercakap 100 perkara dan kritikan boleh diberikan kepada saya, bukannya pemain. Sebagai jurulatih saya kena tahu di mana kedudukan kita, tahap kecergasan pemain.
“Pemain boleh lakukan kesilapan kerana (liga belum bermula dan tiada aksi kompetitif) yang kita sediakan kepada pemain. Untuk tempoh berapa bulan mereka tidak bermain dan pastinya mereka bukan mesin.
“Apabila mereka lakukan kesilapan, saya rasa sakit kerana kita yang memaksa mereka berada dalam situasi ini,” kata Pan-gon.
Justeru, Pan-gon mengakui Harimau Malaya turut mengharapkan sedikit keajaiban untuk mencipta sejarah baharu layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia, selain percaya skuad kendaliannya mampu beraksi lebih baik pada baki aksi Kumpulan D nanti.
“Sepatutnya (persiapan untuk hadapi baki aksi kelayakan) lebih baik daripada situasi sekarang. Liga sudah bermula dan pemain pun sudah bermain sekurang-kurangnya tiga atau empat perlawanan.
“Ada dua perlawanan lagi, jika ada keajaiban pasti kami ada peluang. Sebagai jurulatih, pemain dan penyokong, kita tidak boleh berputus asa dan ini bukanlah penamatnya,” jelasnya.