LONDON – Pengendali Chelsea, Mauricio Pochettino mengakui bimbang dengan keadaan pemain pertahanannya, Ben Chilwell selepas dia diturunkan dalam skuad England pada aksi persahabatan menentang Brazil dan Belgium.
Pochettino cukup terkejut dengan keputusan pengendali England, Gareth Southgate kerana Chilwell baharu saja pulih daripada kecederaan lutut sekaligus mecetuskan kebimbangan Chelsea menjelang aksi menentang Burnley malam ini.
“Dia (Chilwell) tidak beraksi (saingan liga) selepas aksi dengan Brentford, namun dia hanya diberikan tempoh beberapa minit ketika bertemu Leicester City. Sekarang dia berada dalam kesebelasan bersama England.
“Ia satu kejutan dan cukup malang bagi kami kerana Chilwell mengalami pelanggaran semasa aksi dengan Belgium. Sekarang kami perlu menilainya sama ada boleh bermain atau pun tidak,” katanya.
Chilwell beraksi 67 minit ketika pertemuan dengan Brazil dan tiga hari selepas itu, bintang berusia 27 tahun itu bermain untuk tempoh masa penuh ketika England mengikat Belgium 2-2.
Kali terakhir pertahanan itu berada dalam kesebelasan utama Chelsea adalah pada aksi menentang Brentford, 2 Mac lalu dan selepas itu hanya diberikan tempoh beberapa minit ketika bertemu Leicester City pada saingan Piala FA.
Chelsea yang kini berada di tangga ke 11 Liga Perdana Inggeris begitu terdesak untuk meneruskan rentak positif selepas catatkan kemenangan 3-2 ke atas Newcastle United, 12 Mac lalu. – AGENSI