fbpx

Angkasa sumbang baucar RM100 bantu masyarakat kurang mampu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Fattah (tengah) bergambar bersama penerima baucar bernilai RM100 menerusi Projek Barang Asas 100 (BA100), Program CoopCare Rezeki Ramadan Angkasa, di sini hari ini.

PETALING JAYA – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) memperuntukkan sumbangan berbentuk baucar bernilai RM100 bagi pembelian barang keperluan harian menerusi Projek Barang Asas 100 (BA100) melalui Program CoopCare Rezeki Ramadan, hari ini.

Sumbangan tersebut diberikan kepada 70 orang kariah masjid sekitar Kelana Jaya, 30 orang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Permata dan 50 orang kakitangan Angkasa.

Presiden Angkasa, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, program tersebut diadakan bertujuan membantu masyarakat dalam kategori asnaf, golongan rentan dan golongan kurang berkemampuan (B40) di sekitar Petaling Jaya bersempena dengan penganjuran Karnival ANGKASAMart Kelana Jaya yang bermula 26 Mac sehingga esok.

“Projek Barang Asas 100 (BA100) merupakan inisiatif Angkasa dalam menawarkan barangan asas dengan harga berpatutan bagi membantu rakyat dalam mendepani cabaran kos sara hidup.

“Ini juga merupakan usaha Angkasa bagi mendapat sokongan penuh pihak kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

“Malah, program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Coopcare Angkasa ini juga merupakan inisiatif kami bagi memenuhi tanggungjawab sosial baik dari segi menyumbang dalam usaha, tenaga dan juga keperluan sosiekonomi masyarakat yang memerlukan,” ulasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Program Coopcare Rezeki Ramadan Angkasa 2024/1444H di ANGKASAMart Kelana Jaya, di sini hari ini.

Dalam pada itu, tiga buah rumah kebajikan turut menerima baucar bernilai RM1,000 hari ini iaitu Pusat Jagaan Rumah Nur Sakinah, Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia dan Persatuan Rumah Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Ibu Tunggal (Hajah Kamariah).

Mengulas lanjut, Abdul Fattah berkata, Angkasa kini sedang merancang untuk meningkatkan pengeluaran produk-produk yang dikeluarkan sendiri oleh koperasi untuk memastikan harga yang ditawarkan adalah lebih kompetitif dan berpatutan.

“Buat masa sekarang, kami sudah kurangkan peranan orang tengah untuk mengurangkan kos. Kami berhasrat untuk menjalankan perniagaan secara perniagaan ke perniagaan (B2B) dan perniagaan kepada pengguna (B2C).

“Sebelum ini, kita telah menjual barang-barang kering. Namun pada masa hadapan, kami merancang untuk turut menjual barang-barang basah seperti ayam, ikan, daging, sayur dan sebagainya.

“Jika ini dapat dilaksanakan, nilai transaksi atau nilai jualan boleh mencapai RM7.2 billion,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI