PETALING JAYA – Pengguna media sosial masing-masing terpegun melihat keindahan musim ‘sakura’ sepanjang jalan Penampang Lama, Kota Kinabalu, Sabah yang tular sejak kebelakangan ini.
Menerusi kumpulan Sabah Info, beberapa keping foto dimuat naik oleh pengguna dikenali Tan Chong Hong memaparkan pemandangan yang cukup memukau itu.
Kelihatan pokok Tabebuia spp atau lebih dikenali Tecoma yang berwarna merah jambu, ungu dan putih sedang mekar berbunga sekali gus memaparkan suasana seakan-akan di Jepun.
Ada juga beberapa pengguna mendakwa bahawa fenomena mempersonakan itu adalah petanda bahawa musim panas kemarau bakal berakhir tak lama lagi.
“Musim bunga lepas tu musim hujan. Kalau dulu-dulu tengok pokok getah daunnya gugur musim kemarau. Kalau keluar daunnya maka takda masuk musim tengkujuh,” komen Firdaus.
“Boleh bersiap sedia dah untuk kita hadapi musim hujan lepas ni,” komen Tommy pula.
Sehingga kini perkongsian tersebut mendapat lebih 11,800 tanda suka dan 3,100 perkongsian.
Menerusi tinjauan Kosmo! di media sosial, fenomena yang jarang-jarang berlaku itu bukan sahaja berlaku di Jalan Penampang Lama malah beberapa kawasan lain di Sabah seperti di Sepanggar, Kampung Kopungit dan Bundusan.
Selain di Sabah, kelihatan beberapa foto bunga tersebut yang mewarnai pemandangan jalan juga turut berlaku di Semenanjung antaranya di Yan, Kedah, Bayan Lepas, Pulau Pinang, Segamat, Johor dan Alor Gajah, Melaka.
Sebelum ini, seorang pegawai penyelidik pertanian, Sakinah Idris berkata lazimnya bunga yang sering dijadikan hiasan landskap itu akan mula mekar selepas musim kemarau yang disusuli musim hujan.
Katanya, bunga tersebut akan mekar dua kali setahun iaitu sekitar hujung Mac hingga awal April dan hujung Ogos sehingga awal September. – KOSMO! ONLINE