ROMBAKAN wajar dilakukan segera terhadap skuad Harimau Malaya bagi mengelak sikap sambil lewa pemain sehingga memberi impak negatif kepada cabaran negara pada kempen kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 selepas ini.
Memandangkan Liga Malaysia (Liga M) akan bermula Mei ini, pengendali negara, Kim Pan-gon pastinya mempunyai lebih banyak pilihan untuk mendapatkan pemain yang dirasakan lebih layak untuk menyarung jersi kebangsaan.
Pemerhati bola sepak negara, Datuk Dr. Pekan Ramli, berkata beliau tidak dapat menafikan yang ada segelintir pemain yang dilihat ‘khayal’ hingga tercetuskan sikap tidak bagus dalam pasukan.
“Pemain juga tidak konsisten, contohnya Arif (Arif Aiman Hanapi) beraksi baik apabila berada di atas dan turun ke bawah untuk bantu pasukan, tetapi Faisal (Faisal Abdul Halim) nampak seperti hilang dalam radar.
“Saya nampak pemain yang ada dalam skuad kita sudah tepu, mungkin ada satu atau dua pemain yang nampak boleh kita beri harapan untuk menjulang pasukan. Dalam misi untuk melakar sejarah baharu kali ini, saya harap kita mampu untuk buat yang terbaik,” katanya.
Antara pemain yang kini menjadi ‘buah mulut’ dalam kalangan peminat adalah Dion Cools yang dilihat tidak berada pada tahap terbaik dan didakwa terlalu bersikap sambil lewa hingga meletakkan keadaan pasukan negara dalam situasi sukar.
Dua kekalahan kepada Oman kali ini memberikan amaran awal buat Pan-gon untuk lebih bersedia untuk berdepan realiti sebenar di pertandingan tertinggi khususnya di pentas kelayakan Piala Dunia.
Dalam masa sama, Pekan juga percaya keputusan itu sudah pun menyedarkan Harimau Malaya daripada lena selepas sering dihujani cerita positif selepas mengikat Korea Selatan 3-3 di Piala Asia baru-baru ini.
“Apabila seri dengan Korea Selatan, Harimau Malaya diangkat tinggi menggunung. Kita di awan-awangan dan terperangkap dalam mimpi, jadi sebab itu saya cakap kita kena keluar daripada mimpi,” katanya.