KLUANG – Seorang remaja perempuan dirayu untuk pulang kepangkuan keluarga selepas menghilangkan diri dari kediamannya di Taman Desa, disini sejak 26 Mac baru-baru ini.
Hanisah Khamis, 37, berkata, anaknya Alia Suffiah Azeem, 19, disedari tidak berada di dalam bilik tidornya kira-kira pukul 6.50 pagi ketika mengejutkannya untuk pergi ke Kolej Vokasional Kluang.
Katanya, pemeriksaan dalam bilik anak sulung daripada dua beradik itu turut mendapati semua pakaian dibawa sama ketika keluar dari rumah pada pagi itu.
“Kami tidak tahu di mana dia berada sekarang dan dengan siapa dia keluar dari kawasan perumahan kerana kejadian berlaku tanpa disedari oleh semua ahli keluarga.
“Malah usaha mengesan kedudukannya juga gagal apabila rakan-rakan kolejnya turut tidak mempunyai maklumat kemana dia melarikan diri,” katanya ketika dihubungi Kosmo hari ini.
Menurut Hanisah lagi, kejadian anaknya itu melarikan diri dari rumah sudah dua kali berlaku dengan kali pertama pada bulan Mac tahun lepas.
Ujarnya, mereka sekeluarga juga tidak pasti apakah punca anaknya itu melarikan diri dari rumah kerana sepanjang tempoh setahun ini tiada perselisihan faham antara mereka dan saling menghormati ibu bapa.
“Jika ada yang terbawa lari anak saya, pulangkan lah, kami mahu dia menamatkan pelajarannya terlebih dahulu.
“Alia… Pulanglah, tidak lama lagi sudah tiba Hari Raya, adik dan semua keluarga bimbangkan Keselamatan kakak,” rayu Hanisah lagi.
Mereka yang mempunyai maklumat atau ternampak kedudukan Alia Suffiah diharapkan dapat menghubunya ibunya, Hanisah Khamis di talian 011-70757328 atau memaklumkan kepada mana-mana Balai Polis berdekatan.-KOSMO! ONLINE