PETALING JAYA – Seramai 34 anggota dan pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) ditahan selepas dipercayai menerima rasuah berjumlah RM4.7 juta daripada sindiket penyeludupan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.
Kesemua mereka termasuk 27 orang awam dan pemilik syarikat ejen penghantaran (forwarding agent) diberkas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam Op Samba 2.0 bermula 11 hingga 25 Mac lalu.
Operasi yang diketuai Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) turut disertai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara (BNM).
Sindiket penyeludupan tembakau, rokok dan arak sejak 2017 itu menyaksikan jumlah ketirisan mencecah RM2 bilion bagi tempoh tiga tahun lepas.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pegawai kastam yang ditahan membabitkan mereka yang berpangkat dari Pembantu Penguasa Kastam sehingga Penolong Pengarah Kastam.
Menurut beliau, kesemua mereka berusia 30 hingga 50-an dan masing-masing bertugas di bahagian pemeriksaan dan pencegahan di Cawangan Import/Eksport Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang.
Katanya, syarikat-syarikat ejen penghantaran dikesan membayar rasuah kepada 34 kakitangan dan pegawai kastam itu bagi melindungi aktiviti penyeludupan dijalankan sejak tahun 2017 sehingga kini.
“Pegawai dan anggota kastam tersebut dikesan menerima rasuah berjumlah lebih RM4.7 juta daripada sindiket berkenaan. Dengan rasuah itu kegiatan penyeludupan tembakau kunyah, rokok, arak, produk kesihatan dan alat ganti kenderaan lancar,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya di sini semalam.
Mengulas lanjut, Azam berkata, berikutan penahanan 34 anggota dan pegawai kastam itu membawa kepada rampasan lapan kenderaan mewah dimiliki pemilik syarikat termasuk telefon bimbit, komputer riba bagi membantu siasatan.
Jelasnya, sejumlah 231 akaun bank dengan wang berjumlah lebih RM17 juta dibekukan kerana disyaki dimiliki individu- individu dan syarikat yang menjadi keldai akaun kepada sindiket penyeludupan itu.
“Modus operandi ini, sindiket akan menggunakan perkhidmatan ejen penghantaran sebagai orang tengah bagi pembayaran rasuah kepada penguat kuasa.
“Pembayaran rasuah itu sebagai balasan bagi melicinkan proses penyelundupan tembakau kunyah, rokok, arak, produk kesihatan dan alat ganti kenderaan tanpa melalui pengisytiharan serta pemeriksaan yang sepatutnya,” jelasnya.
Kata Azam, akaun keldai akan digunakan bagi melakukan transaksi pembayaran wang rasuah kepada pegawai-pegawai kastam bagi mengelakkan transaksi kewangan tersebut dikesan pihak berkuasa.
“Akaun keldai ini diwujudkan bagi memasukkan pembayaran rasuah sebelum wang itu disalurkan kepada akaun peribadi pegawai-pegawai terlibat dengan jumlah tertentu,” katanya. – KOSMO! ONLINE