SIAPA yang tidak teruja saat mendapat undangan beraksi di pentas Festival Java Jazz yang membariskan ramai penghibur hebat Indonesia serta penyanyi serantau.
Perasaan sama sedang bersenandung di jiwa penyanyi Aisha Retno apabila impiannya yang satu itu bakal menjadi kenyataan.
Keinginan sejak lamanya mahu beraksi dalam sebuah fiesta muzik bertaraf antarabangsa tersebut bakal terlestari pada pertengahan tahun ini.
Acara tahunan yang meraih perhatian dunia itu turut menghimpunkan ramai peminat muzik jazz dari seluruh pelusuk dunia.
Dijadualkan berlangsung di Jakarta, Indonesia pada Mei depan, keinginan tersebut sudah didambakan sebaik dibawa ibunya ke festival sama sekitar 10 tahun lalu.
Kata Aisha atau Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 23, peluang tampil dalam acara muzik hebat yang menjadi idaman ramai penyanyi itu antara pencapaian terbesarnya dalam karier seni.
Wakil Malaysia
“Mewakili Malaysia untuk Festival Java Jazz pada 24 hingga 25 Mei 2024 di Indonesia merupakan impian yang menjadi kenyataan kerana dapat muncul di salah satu fiesta jazz terbesar dunia.
“Saya hilang kata-kata dan ini adalah untuk keluarga dan rakan-rakan, terutama penyokong, baik tempatan mahupun di luar negara yang menyokong karier muzik saya selama lima tahun ini.
“Saya menangis melihat barisan idola yang bakal muncul pada festival itu nanti,” katanya dalam perkongsian Instagram.
Kongsi Naib Juara Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38), itu, dia dan ibunya sama-sama mengucap syukur kepada Tuhan sebaik mendapat berita gembira tersebut daripada wakil penganjur.
Momen kali pertama dihulurkan tawaran ke Java Jazz diibaratkannya seperti di alam mimpi.
“Inilah festival yang ibu saya perkenalkan ketika saya masih kanak-kanak, akhirnya 10 tahun kemudian bakal beraksi di festival yang sama. Sungguh indah perancangan Allah,” katanya.
Dalam ruangan komen ramai peminat serta rakan seperjuangan menitipkan ucapan tahniah termasuk penyanyi senior seperti Anuar Zain, Ernie Zakrie, Tomok dan tidak ketinggalan Diana Danielle.
Antara penghibur tempatan yang pernah muncul di pentas mega tersebut adalah Datuk Sheila Majid, Atilia dan Elvira Arul.