KUALA LUMPUR –
Syarikat pengeluar makanan tempatan itu mengedarkan sebanyak 1,000 pek berisi bubur lambuk dan Kicap Manis Pedas Mahsuri Dagang sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab korporat (CSR) syarikat sekali gus menyemarakkan bulan Ramadan.
Program Kongsi Berkat Bubur Lambuk kali ketiga dalam bulan puasa ini telah diadakan di Surau Al-Husna Seri Semarak dengan kerjasama Media Mulia Sdn. Bhd. (MMSB).
Pengarah Mahsuri Dagang, Datuk Mohd. Roslan Mahayudin berkata, pelaksanaan program itu bertujuan untuk mendekati dan menyantuni golongan memerlukan sempena bulan Ramadan ini.
Beliau melihat ini adalah platform terbaik untuk mendekati masyarakat dan mengetengahkan jenama Mahsuri Dagang sebagai sebagai salah satu pengeluar sos dan kicap keluaran tempatan.
“(PPR Seri Semarak) ini adalah lokasi ketiga dan terakhir untuk program Berkat Kongsi Bubur Lambuk bersama Media Mulia. Sebelum ini kita laksana di Putrajaya dan Universiti Putra Malaysia (UPM).
“Selain dapat mendekati penduduk setempat, kita juga boleh mempromosikan jenama Mahsuri Dagang supaya dikenali lebih ramai,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di sini.
Turut hadir Pengarang Kosmo! / Kosmo! Ahad, Wan Hasnan Wan Hasan serta Ketua Perhubungan dan Pembangunan Masyarakat Mahsuri Dagang, Lailah Che Mohd. Dairus.
Mohd. Roslan menerangkan, sepanjang tiga kali anjuran program itu, beliau mendapati bahawa orang ramai telah memberi maklum balas yang positif terhadap produk Mahsuri Dagang.
“Ini adalah produk tempatan dan setanding dengan produk lain di pasaran. Saya harap orang ramai ambil peluang ini untuk mencuba Mahsuri Dagang,” jelasnya.
Tambah beliau, Mahsuri Dagang juga sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan masyarakat melalui sumbangan dan program CSR.
Dalam pada itu, Lailah berkata, kerjasama Mahsuri Dagang dengan MMSB sebagai penganjur merupakan suatu langkah yang baik untuk mempromosikan produk berkenaan.
“Tidak dapat dinafikan peranan media adalah penting untuk kita sama-sama bergerak ke hadapan.
“Bagi kami, Utusan Malaysia dan Kosmo! merupakan media yang sangat dekat dengan rakyat tempatan. Jadi, saya harap kerjasama ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Surau Al-Husna Seri Semarak, Mahat Yunus berkata, pihaknya sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan semua pihak demi manfaat penduduk PPR Seri Semarak.
“Kami amat berbesar hati menerima sumbangan daripada Mahsuri Dagang dan MMSB dan ia merupakan suatu program yang baik sempena Ramadan.
“Di samping itu, kita juga dapat mengukuhkan lagi silaturrahim antara penduduk di sini,” jelasnya.
Selain itu, Ketua Tukang Masak Fatihi Ahmad, 60, berkata, dia bersama 20 ahli biro muslimah dan ahli jawatankuasa surau itu mula bergotong-royong menyediakan juadah tersebut bermula pukul 8.30 pagi.
Fatihi yang berpengalaman selama 30 tahun sebagai tukang masak, telah mengguna pakai resepi turun-temurun keluarganya untuk menyediakan dua jenis bubur lambuk iaitu ayam dan daging.
Dia hanya menggunakan bahan-bahan terbaik termasuklah udang kering, lada hitam dan sos tiram Mahsuri untuk menaikkan aroma dan rasa bubur lambuk.
Program itu telah dibantu kakitangan MMSB dan Mahsuri Dagang sebelum diagihkan kepada penduduk di perkarangan Surau Al-Husna Seri Semarak. -KOSMO! ONLINE