fbpx

‘Link’ haram Khunsa bersepah, peluh kami belum kering – Penerbit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENERBIT juga pengarah Khunsa, Shahrulezad kecewa karya nukilannya kini ditonton menerusi saluran-saluran digital secara haram.

PETALING JAYA – “Saya tak nak cakap banyak, cuma saya tidak akan halalkan dunia akhirat.”

Demikian luahan kekecewaan pengarah dan penerbit drama terkenal, Shahrulezad Mohameddin apabila drama karya dan arahannya, Khunsa, banyak ditayangkan secara haram dalam media sosial.

Menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Instagram, pemilik rumah produksi Radius One Sdn. Bhd. itu berkata, dia tidak akan sesekali halalkan ‘pencuri’ yang telah mencuri hasil keringatnya bersama produksi apabila memuat naik drama Khunsa melalui saluran-saluran haram tanpa keizinannya.

“Saya memang tidak halalkan dunia akhirat bagi sesiapa yang langsung tidak ada rasa bersalah mencuri hasil keringat kami tanpa izin.

“Saya masih lagi ada di lokasi (penggambaran), berpanas dan berhujan dari pagi hingga ke malam.

“Menahan lapar dan haus sehingga ke hari ini. Pada waktu ini (ketika luahan ini ditulis), saya dan pasukan masih lagi gigih menyiapakan Khunsa demi menghibur dan memberi ilmu melalui hiburan,” katanya kecewa.

Pencipta naskhah fenomena Nur itu menjadi lebih terkesan apabila membaca komen-komen netizen yang tanpa rasa bersalah malah bangga mencadangkan orang lain untuk menonton Khunsa menerusi saluran haram.

“Peluh kami pun belum kering lagi. Tapi terang-terang bila membaca komen netizen tanpa bersalah dan bangga, mencadangkan orang lain untuk menonton hasil keringat kami tanpa rasa bersalah.

“Cukup membuatkan hati saya terusik. Reda? Tidak sama sekali. Malah tidak sebesar hama pun saya akan halalkan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Shahrulezad atau mesra disapa Ijad turut mengingatkan orang ramai tentang hukum halal dan haram, selain kesalahan daripada sudut undang-undang jika mengedar harta intelek milik orang lain tanpa izin.

“Haram itu bukan sahaja pada arak dan babi sahaja. Memiliki, menonton atau mengedar harta intelek milik orang lain tanpa izin juga haram. Hukumnya berdosa.

“Tak percaya? Sila rujuk pada mana-mana ustaz yang bertauliah. Apa hukumnya menonton sesuatu yang tidak mendapat keizinan tuan punya harta intelek ini.

“Tolong kalian jangan memuji dan memuja kami, tapi dalam masa sama menikam kami dari belakang,” katanya.

Drama Khusna yang disiarkan menerusi saluran Astro Ria, Astro On The Go dan aplikasi Sooka mengisahkan tentang kelahiran seorang bayi di sebuah kampung yang diberi nama Che Khun yang lahir dengan dua alat kelamin (khunsa).

Bagaimanapun, bapanya tidak dapat menerima kenyataan tersebut dan membesarkan anaknya sebagai seorang lelaki, walaupun nalurinya lebih kepada perempuan.

Drama 28 episod itu diterajui barisan pelakon seperti Azhan Rani, Sherry Alhadad, Nadiah Aqilah, Lailah Nasir dan Zarina Zainoordin.

Sebelum ini, Shahrulezad dikritik hebat netizen apabila didakwa Cuma menormalisasikan budaya lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) menerusi karya Khunsa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI