KOTA KINABALU – Kenaikan suhu air laut ekoran cuaca panas melanda Sabah ketika ini dipercayai punca kemunculan ribuan obor-obor berwarna kemerahan ditemui terdampar di pantai Kampung Jangkit, Kuala Penyu baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Perikanan Sabah, Azhar Kasim, berkata obor-obor berkenaan dikenal pasti sebagai Obor-Obor Tomato atau nama saintifiknya Lobonemoides Robustus.
“Spesies obor-obor terbabit bagaimanapun dikatakan tidak berbisa namun boleh mengakibatkan gatal pada kulit jika tersentuh.
“Jabatan Perikanan sudah menghantar anggota dari Pejabat Perikanan Kuala Penyu ke kawasan kejadian untuk membuat pemantauan. Hal ini kerana kejadian ribuan obor-obor yang terdampar itu adalah luar biasa,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Mengulas lanjut, Azhar menyatakan lokasi kejadian ribuan obor-obor terdampar itu ialah di sepanjang kira-kira tiga kilometer di pesisir pantai Kampung Jangkit, Kuala Penyu.
Beliau berkata, penduduk memaklumkan obor-obor yang terdampar dalam jumlah yang banyak seumpama itu adalah pertama kali berlaku.
Azhar berkata, berdasarkan penelitian pihaknya, kepadatan populasi obor-obor yang luar biasa itu disebabkan peningkatan kadar pembiakan obor-obor berikutan kenaikan suhu air laut.
“Ia juga berkait rapat dengan kewujudan sumber makanan seperti zooplankton, crustacea kecil dan anak ikan di kawasan perairan terbabit. Kejadian turut dipengaruhi faktor air pasang dan air surut yang mendadak menyebabkan obor-obor secara terperangkap dan terdampar di pantai,” katanya.
Sementara itu, Azhar meminta orang awam agar tidak perlu risau mengenai kemunculan obor-obor berkenaan kerana ia adalah jenis hidupan marin yang mudah mati dan hancur.
Terdahulu, beberapa gambar dan video tular di media sosial menunjukkan ribuan obor-obor terdampar di sepanjang pantai menyebabkan kawasan terbabit kelihatan berwarna kemerahan kerana dipenuhi hidupan marin itu. – KOSMO! ONLINE