LONDON – Chelsea dilaporkan mencatat pembaziran paling besar sepanjang kempen 2023/24 apabila terpaksa membayar kira-kira £1.8 juta (RM10.7 juta) seminit untuk menyaksikan pemain Romeo Lavia beraksi.
Selepas ditandatangani dengan nilai £58 juta (RM346.5 juta), debut pemain dari Belgium ini lebih diwarnai cerita malang apabila sering dihimpit masalah kecederaan, malah dia juga dilaporkan terpaksa melupakan baki saingan musim ini.
Ia menjadi tamparan hebat kepada pemain berusia 20 tahun ini apabila hanya melakukan satu penampilan musim ini selaku pemain gantian ketika aksi menentang Crystal Palace pada Disember lalu dan hanya sempat beraksi 32 minit.
“Pemain tengah, Romeo Lavia terlepas baki kempen 2023/24 kerana proses pemulihan kecederaan.
“Penilaian perubatan yang dilakukan mengesahkan Lavia mengalami kecederaan ketika menentang Crystal Palace dan tidak berpeluang beraksi pada baki musim ini,” menurut kenyataan yang dikeluarkan Chelsea.
Sebelum ini, Lavia memilih Chelsea berbanding Liverpool yang turut menunjukkan minat untuk mendapatkan khidmatnya dan mengambil keputusan mengikat kontrak dengan The Blues selama tujuh tahun.
Sebelum mendapat kaps pertama dengan The Blues, Lavia mengalami masalah buku lali, namun selepas itu dipalit kecewa apabila dihantui kecederaan paha.
Berita ini jelas menambahkan beban buat pengendali Chelsea, Mauricio Pochettino yang sedang mengalami krisis kecederaan termasuk khidmat ketua pasukannya, Reece James yang masih belum dapat dipastikan tarikh kembali. – AGENSI