LONDON – Data terbaharu mendedahkan bahawa penggempur sensasi Manchester City, Erling Haaland tidak berada dalam senarai tiga penyerang terbaik Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika ini.
Saingan liga tersebut akan kembali bersambung hujung minggu ini selepas cuti rehat antarabangsa dengan Arsenal, Liverpool dan City akan kembali bersaing untuk merebut kedudukan teratas carta.
Selain itu, satu lagi slot ke saingan Liga Juara-Juara musim depan menyaksikan Aston Villa, Tottenham Hotspur dan Manchester United sedang bersaing sengit.
Sebuah syarikat penganalisis bebas, Squawka dan Opta yang telah membuat penilaian dan mengenalpasti potensi penyerang terbaik berdasarkan beberapa kriteria yang telah diambil kira.
Data tersebut diambil berdasarkan penilaian terhadap pemain dibuat tanpa melibatkan penalti, jaringan, gol dan umpanan gol, jangkaan umpanan, peluang terbaik yang dicipta, tipu muslihat, percubaan, ketepatan percubaan, sentuhan di dalam kawasan lawan dan beberapa lagi kriteria lain.
Hasil daripada data berkenaan mendapati Haaland tidak berada dalam senarai lima penyerang terbaik dan lebih mengejutkan pemain Liverpool dan Manchester United berjaya memasukinya.
Penyerang The Reds, Darwin Nunez berada pada kedudukan teratas senarai berkenaan dengan mendapatkan 78 peratus markah selepas mengambil kira kesemua kriteria yang dikemukakan biarpun dia dilihat bergelut di depan gawang musim ini.
Pemain antarabangsa Uruguay itu kerap menjadi bahan jenaka para peminat ekoran kemampuannya melakukan sentuhan penyudah, namun masih berjaya meledak 17 gol dalam semua kejohanan musim ini.
Tempat kedua pula menjadi milik penyerang Aston Villa, Ollie Watkins yang meraih 76 peratus selepas dia berjaya meledak 16 gol dalam saingan EPL, manakala Rasmus Hojlund yang mengetuai jentera serangan Manchester United di kedudukan ketiga dengan 75 peratus.
Sementara itu, dua lagi pemain yang melengkapkan kedudukan lima teratas adalah penyerang Fulham, Rodrigo Muniz dan pemain Tottenham Hotspur dengan 69 peratus. – AGENSI