BALTIMORE, Maryland – Gabenor Maryland, Wes Moore mendedahkan pelan pembersihan awal serpihan selepas sebuah kapal kargo melanggar Jambatan Francis Scott Key di Baltimore yang mengorbankan enam orang.
“Kami berdepan jalan yang panjang,” kata Moore pada sidang akhbar kelmarin.
Menurutnya, mereka akan membersihkan semua serpihan, mengalihkan kapal kargo berkenaan, mengambil semua serpihan jambatan dan akhir sekali, membinanya semula.
Kata Moore, setiap fasa proses tersebut mempunyai cabarannya sendiri.
Gabenor berkenaan memberitahu bahawa panjang kapal kargo Dali yang melanggar jambatan di Baltimore itu hampir menyamai Menara Eiffel.
“Terdapat besi jambatan seberat antara 3,000 tan hingga 4,000 tan berada di atas kapal Dali,” kata Moore.
Senator negeri Maryland, Chris Van Hollen pula memberitahu, Kor Jurutera Tentera Darat Amerika Syarikat akan menanggung kos pembersihan tersebut.
Tambahnya, sebuah kren seberat 1,000 tan tiba semalam untuk membantu mengalihkan serpihan, manakala sebuah lagi kren seberat 400 tan akan tiba hari ini untuk memberikan bantuan seterusnya.
Kapal Dali membawa beribu-ribu kontena termasuk 56 yang mengandungi bahan mudah terbakar seperti bateri lithium dan minyak wangi, demikian menurut beberapa pegawai.
Dalam perkembangan sama, Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) melaporkan semalam bahawa pentadbiran Presiden Joe Biden telah meluluskan dana kecemasan AS$60 juta (RM283.74 juta) yang diminta oleh negeri Maryland bagi menangani krisis tersebut.
Setakat kelmarin hanya dua mayat mangsa nahas tersebut yang ditemui manakala operasi menyelamat ditangguhkan sehingga diberitahu kelak – AGENSI .