KUALA NERUS – Seekor beruang matahari yang tersesat memasuki kawasan perumahan di Tok Jembal di sini sejak Selasa lalu berjaya ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) semalam.
Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong berkata, haiwan betina seberat 65 kilogram tersebut memasuki perangkap yang dipasang di Kampung Telaga Batin di sini.
“Beruang matahari berusia lima tahun itu memasuki perangkap yang dipasang pada kelmarin.Tahap kesihatannya kini sedang dipantau oleh pihak kami,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Kosmo! semalam melaporkan Penduduk Tok Jembal di sini ketakutan berikutan kemunculan seekor beruang matahari yang dipercayai bersesat memasuki taman perumahan mereka.
Tambah menggemparkan, haiwan liar tersebut dilihat cuba memanjat pagar untuk memasuki rumah salah seorang penduduk. – KOSMO! ONLINE