DUA beregu lelaki negara menjadi sandaran utama skuad badminton negara apabila Malaysia berdepan juara edisi 2016, Denmark dalam aksi Kumpulan D Piala Thomas di Chengdu, China pada 27 April hingga 5 Mei depan.
Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berkata, Malaysia tiada cara lain untuk menewaskan Denmark selain perlu menang dua aksi beregu dan mencuri mata dalam acara perseorangan.
Katanya, Denmark memiliki kelebihan dalam acara perseorangan yang dijangka menurunkan pemain ranking nombor satu dunia, Viktor Axelsen selain Anders Antonsen (keempat), Rasmus Gemke (28) dan Magnus Johannesen (34).
“Denmark memiliki pemain-pemain yang cukup kuat dalam acara perseorangan, mereka ada Axelsen dan Antonsen. Saya tidak pasti siapa yang akan diturunkan sebagai perseorangan ketiga sama ada Gemke atau Johannesen tetapi kedua-duanya juga kuat,” katanya.
Oleh itu, Rexy berharap pasangan No.1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menampilkan aksi terbaik untuk mengutip mata penting dalam perlawanan tersebut.
“Kalau dilihat kedua-dua pasangan itu ada peluang yang seimbang. Ia bergantung kepada siapa yang beraksi lebih baik pada hari perlawanan.
“Beregu kedua kita juga perlu sumbang mata, bukan cakap beregu kedua Denmark (Rasmus Kjaer-Frederick Sogaard) tidak bagus, tetapi kita tiada pilihan kerana inilah yang kita perlu untuk menang ke atas Denmark,” katanya.
Ketika ini, Malaysia belum menyenaraikan barisan pemain negara ke Chengdu, tetapi pemain No.10 dunia, Lee Zii Jia bakal mengetuai skuad tersebut diikuti Ng Tze Yong (18), Leong Jun Hao (37), Eogene Ewe (204) dan Justin Hoh (207).
Untuk beregu lelaki pula, Malaysia bakal menyenaraikan tiga gandingan terbaik iaitu pasangan profesional, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei dan Muhammad Haikal Nazri-Choong Hon Jian.
Selain Denmark, Malaysia akan berdepan Hong Kong dan Algeria dengan dua pasukan teratas bagi setiap kumpulan akan mara ke suku akhir.
Kali terakhir Malaysia muncul juara Piala Thomas pada edisi 1992 dengan pencapaian terbaik selepas itu muncul naib juara sebanyak dua kali sewaktu edisi Guangzhou 2002 dan New Delhi 2014.