PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah buat mantan Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional (Bernama), Datuk Ahmad Rejal Arbee Mohamed Isa Arbee yang telah kembali ke rahmatullah awal pagi tadi.
Anwar dalam kenyataan di Facebooknya berkata, Allahyarham yang juga mantan Pengarang Kumpulan Berita Harian telah memberikan jasa dan sumbangan yang besar dalam dunia kewartawanan.
“Allahyarham merupakan Tokoh Wartawan Negara 2014 dan dikenali sebagai antara pengamal media terawal meneroka konsep media dwibahasa.
“Jasa, sumbangan dan buah fikiran yang dilontarkan allahyarham ternyata meninggalkan kesan yang mendalam dalam dunia akhbar dan kewartawanan di Malaysia.
“Takziah saya utuskan kepada keluarga allahyarham. Mendoakan ruh allahyarham diampunkan segala dosanya dan diberi tempat istimewa di sisiNya, insya-Allah. Al-Fatihah,” tulisnya.
Terdahulu, berita pemergian Allahyarham pada pukul 2 pagi tadi disahkan isterinya, Datin Noraini Shariff.
Allahyarham mula berkhidmat dengan Bernama sejak 1969 sebagai pemberita kanan sebelum ke Jakarta, Indonesia sekali gus menjadi pewarta luar negeri pertama agensi berita itu pada 1973. – KOSMO! ONLINE