PETALING JAYA – Tular di laman TikTok, video seorang lelaki segak berpakaian seakan-akan hero Ninja Jepun sedang mengutip sampah di sekitar taman rekreasi pinggir Sungai Kelantan yang merupakan lokasi popular untuk berbuka puasa beramai-ramai.
Anak jati kelahiran tempatan itu mendapat jolokan nama ‘Ninja Jepun’ oleh penduduk setempat, dilihat selalu mengenakan pakaian kostum tradisional masyarakat Jepun dan fasih berbahasa Jepun.
Menerusi perkongsian video @kaychanelshop tersebut, lelaki itu kelihatan bersahaja membawa selaras alat pengutip sampah sambil menggalas sebuah bakul raga yang dijadikan sebagai tempat untuk mengumpul sampah-sarap yang dikutip.
“Arigatogozaimas (Terima kasih). Tolong jaga kebersihan,” itulah kata-kata yang selalu diucapkannya sepanjang mengutip sampah di sana.
Walaupun dia hanya mengutip sisa-sisa sampah secara bersendirian, namun tindakan kecilnya itu berjaya menyuntik kesedaran dalam hati penduduk di sana supaya menjaga kebersihan persekitaran.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna sosial teruja dan berterima kasih terhadap usaha murninya.
“Terima kasih jaga kebersihan kampung kita..kita orang Kampung Sireh tak pergi berbuka puasa di situ,” komen Isma_Ibrahim.
“Besar pahala, kita nak buang sampah merata pun serba salah.. sanggup simpan sampah. Orang yang mudah tohok (buang) sampah kokse (merata-rata) apalah perasaan dia,” ujar Yanaliey.
“Terbaik abang, harap-harap abang menjadi menjadi role model (contoh) dekat rakyat Kelantan yang lain,” ujar Zaid. – KOSMO! ONLINE
@kaydes06 清潔にしてください JEPUN KUTIP SAMPAH 79 (JKS) #KayChanel #Jepun #Kutip #SampahMasyarakat #Malaysia ♬ original sound – Kay Chanel Shop