JOHOR BAHRU – Jabatan Imigresen (JIM) Negeri Johor menahan seramai 54 ‘call girl’ warga asing susulan serbuan yang dilakukan di sebuah pusat hiburan di Taman Mount Austin, di sini tengah malam tadi.
Pengarah JIM Negeri Johor, Baharuddin Tahir berkata, dalam serbuan tersebut kira-kira pukul 12 tengah malam itu, seramai 93 individu diperiksa dan 63 individu berusia lingkungan 19 hingga 49 tahun ditahan.
“60 warga asing yang ditahan itu disyaki bekerja sebagai ‘call girl’ termasuk enam pekerja premis itu. Turut ditahan seorang lelaki dan dua wanita warga tempatan yang disyaki sebagai penjaga premis,” katanya kepada pemberita hari ini.
Baharuddin berkata, ‘call girl’ yang ditahan terdiri daripada 48 wanita Vietnam, tiga wanita Thailand, seorang wanita warga Indonesia dan dua wanita warga China yang ditugaskan untuk menemani pelanggan untuk minum minuman keras.
“Setiap minuman keras yang dipesan bersama tempahan bilik akan mendapat komisen serta tips sebanyak RM20 untuk setiap pesanan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua wanita itu menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial (PLS), Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), Pas Isteri kepada Warganegara, dan juga tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia,” katanya.-KOSMO! ONLINE