fbpx

K2

Status puasa jika titis ubat dalam mata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MATA bukan termasuk dalam kategori ruang yang sedia terbuka. – Gambar hiasan

Adakah batal puasa bagi orang yang memasukkan ubat ke dalam matanya?

Jawapan: Dalam membincangkan tajuk ini, seharusnya melihat perkara-perkara yang membatalkan puasa seperti terdapat di dalam fiqh al-Manhaji di antaranya: Makan atau minum dengan sengaja, namun sekiranya terlupa atau tidak sengaja adalah dimaafkan seperti hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA: “Sesiapa yang terlupa, sedang dia berpuasa, lalu dia makan dan minum, dia hendaklah meneruskan puasa. Sesungguhnya Allah SWT yang memberinya makan dan minum itu. (Riwayat Imam Muslim, 1155)

Memasukan sesuatu ke rongga dalam melalui ruang yang sedia terbuka seperti mulut, telinga, kemaluan dan dubur.

Semua perbuatan yang membatalkan puasa itu jika tidak disengajakan sebab terlupa, ia tidak merosakkan puasa dan ini diqiaskan kepada makan dan minum.

Begitu juga sekiranya dipaksa untuk makan, ia tidak membatalkan puasa. Ini kerana bukan kemahuan dan kehendak.(Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/95)

Muntah yang disengajakan adalah membatalkan puasa. Akan tetapi sekiranya tidak disengajakan tidak membatalkan puasa sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Sabda Nabi SAW: “Sesiapa yang tidak dapat menahan muntahnya semasa berpuasa, dia tidak wajib mengqadha puasanya dan jika sengaja muntah, dia hendaklah mengqadakannya. (Riwayat Imam Abu Daud, 2830)

Melakukan persetubuhan dengan sengaja sekalipun tanpa mengeluarkan mani. Ini seperti firman Allah SWt:

Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam, iaitu waktu fajar.

Kemudian, sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib), dan janganlah kamu menyetubuhi isteri-isteri kamu ketika sedang beri’tikaf di masjid. (Surah al-Baqarah, 187)

Bagaimanapun, tidak membatalkan puasa sekiranya ia terlupa bahawa dirinya sedang berpuasa, perkara ini dikiaskan kepada makan dan minum.

Mengeluarkan mani dengan sengaja maka terbatal puasanya.

Namun, sekiranya tidak disengajakan dan tidak dapat menahan maninya, maka tidak terbatal puasanya.

Haid dan nifas merupakan keuzuran yang menghalang sahnya puasa.

Oleh itu, puasa seseorang perempuan itu terbatal jika terdapat haid atau nifas di siang hari dan wajib mengqadha’kannya.

Ini berdasarkan hadis yang diriwayat Abu Said RA, Rasulullah SAW bersabda: “Bukankah perempuan apabila haid, dia tidak bersolat dan berpuasa?” (Riwayat al-Bukhari, 298)

Justeru, setiap orang berpuasa wajib menahan diri daripada semua perbuatan yang membatalkannya, bermula dari terbit fajar hingga terbenam matahari.

Memasukkan sesuatu ke dalam rongga di antara perkara yang membatalkan puasa.

Misalnya, memasukkan sesuatu ke rongga dalam (ruang selepas halkum hingga usus dan tali perut) melalui ruang yang sedia terbuka iaitu mulut, telinga, qubul dan dubur sama ada lelaki mahupun perempuan.

Sekiranya memasukkan sesuatu melaluinya sehingga sampai ke rongga dalam badan, maka terbatal puasanya.

Begitu juga memasukkan ubat ke dalam telinga batal puasanya.

Adapun sekiranya memasukkan ubat ke dalam mata tidak membatalkan puasa ini kerana mata tidak termasuk di dalam ruang yang terbuka. (Lihat: al-Muktamad fi al-Fiqh al-Syafie, 2/181)

Kesimpulan, memasukkan ubat ke dalam mata tidak membatalkan puasa.

Ini kerana, mata bukanlah termasuk di dalam kategori ruang yang sedia terbuka.

Walaupun dapat merasakan kesan ubat sehingga ke rongga dalam, namun tidak membatalkan puasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI