KUALA LUMPUR – Penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza hanya mampu ketawa dan menahan rasa geli hati apabila tular gambarnya yang disunting sedang digari pihak berkuasa.
Siti, 45, ketika ditemui berkata, dia belum melihat lagi gambar yang dimaksudkan, namun selepas ditunjuk media, dia hanya mampu ketawa apabila melihat dirinya dalam keadaan digari polis.
“Kelakar! Pandai mereka (individu yang menyunting),” kata Siti kepada Kosmo! Online.
Tambah usahawan kosmetik Simplysiti itu lagi, dia beranggapan individu yang menyunting gambarnya dalam keadaan digari pihak polis itu tidak mempunyai pekerjaan.
“Mungkin mereka tidak ada kerja. Saya rasa kalau orang nak percaya memang kasihan. Saya tidak tahu nak cakap apa, sebab terkedu. Betapa individu yang melakukan suntingan gambar ini tidak ada kerja,” ujarnya.
Bagaimanapun, pelantun Nirmala itu sempat menitipkan nasihat serta mendoakan agar si pelaku diberikan hidayah oleh Allah SWT supaya tidak membuat fitnah.
“Saya hanya mampu berdoa semoga Allah beri hidayah padanya. Supaya dia tahu memfitnah itu lebih teruk daripada membunuh,” ujarnya.
Ketika ditanya sama ada akan mengambil tindakan atau tidak, Siti ketika ditemui pada majlis Iftar Nurjiwa Prihatin, di sini kelmarin berkata, dia enggan terlalu melayan pihak yang membuat provokasi itu kerana tidak mahu memberikan publisiti kepadanya.
Namun, jika situasi tersebut melampaui batas, dia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas sebagai pengajaran.
“Tapi kalau melampau sangat, memang saya akan ambil tindakan. Saya akan beri amaran. Sebab kadang-kadang mereka hanya mahukan publisiti.
“Bila kita beri publisiti, mereka lagi suka. Jadi saya akan elak untuk berbuat begitu. Buang masa sahaja. Nanti kalau saya ambil tindakan nak kena naik turun mahkamah pula. Jadi saya rasa, jadilah rakyat yang bijak.
“Kalau lihat perkara yang tidak masuk dek akal, abaikan sahaja supaya mereka tidak mendapat perhatian,” katanya. – KOSMO! ONLINE