PETALING JAYA – Takut tergolong dalam kalangan mereka yang membuang pahala Ramadan, pelakon Zul Ariffin, 37, lebih selesa tidak mencampuri urusan peribadi rakan seperjuangan, Ruhainies yang berdepan kontroversi dengan penyanyi, Aliff Aziz.
Kata pemilik nama sebenar Zulkifli Ariffin itu, dia sengaja mengelakkan diri daripada mengeluarkan sebarang pendapat kerana berasakan tidak layak berbuat demikian.
“Biarlah Ruhainies selesaikan hal itu secara aman. Sebagai orang luar saya tidak layak berkata apa-apa. Saya cuma tahu apa yang dilaporkan media sahaja.
“Saya enggan letakkan diri dalam kelompok mereka yang rugi atau membuang pahala puasa sebab ramai sangat yang suka cakap bukan-bukan.
“Lebih baik saya asingkan diri, jangan campur tangan dan lihat dari jauh. Mungkin dia perlukan masa untuk selesaikan hal itu,” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui pada majlis berbuka puasa Astro, semalam.
Zul yang pernah bergandingan dengan Ruhainies dalam drama WiFi Sebelah Rumah berkata, insiden dilalui temannya itu semestinya ada hikmat di sebaliknya.
“Benda tersebut bukannya perkara yang seronok, jadi saya cuma mampu doakan yang terbaik kepadanya.
“Kalau pasal kerja saya memang boleh bagi komen, tapi ini hal peribadi, jadi saya takut, lebih baik saya jaga lidah,” ujarnya.
Terdahulu, isu mengenai pelakon wanita terbabit ditangkap khalwat dengan hero gandingannya bagi drama Terjerat di kediamannya pada 9 Mac lalu masih menjadi bualan dalam laman sosial.
Lebih menghangatkan keadaan apabila isteri Aliff, Bella Astillah pula mengemukakan permohonan cerai dua hari selepas kejadian. – KOSMO! ONLINE