fbpx

‘Rumah saya tak pernah ada kuih raya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Dalam kemeriahan dan keterujaan umat Islam untuk menyambut Aidilfitri kurang dua minggu lagi, terdapat keluarga yang masih ‘bertarung’ kerana berdepan dengan masalah kewangan.

Menerusi luahan seorang ibu di sebuah radio tempatan, wanita itu menyatakan dirinya tidak mampu menyediakan persiapan raya buat empat anaknya kerana berdepan masalah kewangan.

Malah, wanita yang menetap di Negeri Sembilan itu juga tidak dapat menahan sebak apabila memberitahu barangan sekolah anak-anaknya masih belum selesai sehingga ke saat ini.

“Buat masa ni tak ada baju raya lagi sebabnya tak ada persiapan dan sebenarnya persiapan sekolah anak-anak pun belum selesai lagi. Ada yang tak dapat beli lagi. Terpaksa ‘hold’ dulu.

“Sekarang ini saya tak boleh fikir pasal baju raya, saya pun takkan buka mulut pasal baju raya dan anak-anak mungkin akan faham. Daripada dulu sampai sekarang rumah saya tak pernah ada kuih raya,” luahnya sebak.

Menurut wanita itu, suaminya bekerja di sebuah kilang bermula pukul 9 pagi hingga 4 petang sebelum menyambung berniaga di bazar Ramadan.

Lebih menduga buat mereka sekeluarga apabila satu-satunya kereta rosak sehingga terpaksa berhutang dengan bengkel bagi kos pembaikan.

“Suami dah ambil ‘advance’ gaji untuk baiki kereta. Kereta tu dah baiki, tapi itu pun masih hutang bengkel lagi. Nak dijadikan kereta semalam berasap pula.

“Saya ni dahlah tinggal asing dengan suami, nak bawa anak-anak, nak bawa bayi lagi. Saya takut kalau apa-apa jadi. Penghawa dingin tak berfungsi, memang panas, bayi menangis,” katanya.

Susulan itu, luahan wanita tersebut mendapat perhatian ribuan pengguna di media sosial yang melahirkan rasa simpati dan ingin menghulurkan bantuan kepada keluarga tersebut.

“Akak ni Negeri Sembilan di mana? Haih, kita rasa susah, ada yang lagi susah. Marilah kita bersyukur dengan apa yang ada. Semoga dipermudahkan urusan semua,” komen Pyka.

“Saya tak ada lah kaya mana, tetapi kalau ada sesiapa yang betul-betul tak pernah merasa nak ada kuih raya, tolong mesej saya. Tak pernah terfikir ada yang sampai tak beraya. Mungkin ini ujian untuk kita yang mampu juga sebenarnya,” komen Raja Fairuz.

“Tak semua merasa kesusahan yang akak ini rasa dan Insya-Allah ada manisnya nanti. Nanti bila akak berjaya, kalau jatuh pun, tak kekok. Senang bangkit,” komen Shah pula. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI