LJUBLJANA, Slovenia – Kehadiran semula penggempur utama Portugal, Cristiano Ronaldo dalam kesebelasan utama gagal membantu pasukan itu apabila tewas mengejut 0-2 kepada Slovenia dalam aksi persahabatan di Stadium Stozice awal pagi semalam.
Lebih malang, Ronaldo, 39, dilihat berang dan tidak berpuas hati mungkin kerana kekalahan itu meleburkan rekod cemerlang mereka mencatat 11 kemenangan berturut-turut sejak tewas 0-1 kepada Maghribi di suku akhir Piala Dunia Qatar 2022.
Penyerang Al-Nassr itu sebelum ini disisihkan ketika Portugal menang 5-2 ke atas Sweden di Guimaraes lima hari lalu kerana diberikan lebih waktu rehat bersama keluarganya.
Bagaimanapun, kepulangannya gagal menghadirkan impak positif walaupun bermain 90 minit penuh, sebaliknya Slovenia dilihat lebih berbahaya sehingga menghasilkan dua gol menerusi Adam Cerin dan Timi Elsnik.
Ketua jurulatih Portugal, Roberto Martinez berpandangan sebaliknya kerana merasakan kekalahan itu hadir pada waktu tepat dalam fasa persediaan mereka sebelum menghadapi Kejohanan Euro 2024 di Jerman pada Jun depan.
“Objektif utama hari ini bukannya untuk menang. Benar tiada sesiapa mahu tewas, tetapi kami sebenarnya masih bereksperimen dalam perlawanan ini dan terbukti Slovenia bermain dengan sangat baik.
“Aksi seperti ini memberikan kami lebih banyak informasi dan peluang menilai tahap individu para pemain. Sudah tentu kami tidak gemar tewas dan mahu menang, tetapi matlamat kami tercapai dalam aksi ini,” katanya.
Di Euro 2024 nanti, Portugal akan berdepan Republik Czech, Turkiye dan Georgia dalam Kumpulan F, manakala Slovenia bakal berhadapan Denmark, Serbia serta England bagi saingan Kumpulan C. – AGENSI