MELAKA – Perbuatan seorang penuntut kulinari mengugut untuk menyebarkan gambar bogel remaja perempuan yang dikenalinya di Instagram membawa padah apabila dijatuhi hukuman denda sebanyak RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Majistret Nabilah Nizam menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Chan Yu Jian, 20, yang mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati sengaja melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan kepada seorang perempuan berusia 15 tahun bahawa gambar bogelnya akan disebarkan hingga mendorong mangsa menyerahkan wang tunai RM1,500 kepada tertuduh.
Perbuatan itu dilakukannya pada pukul 7.03 pagi di sebuah rumah beralamat di Rumah Pangsa Seksyen 3 dalam daerah Melaka Tengah, 14 Mac lalu.
Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua hukuman itu.
Berdasarkan fakta kes, mangsa berkenalan dengan tertuduh pada Januari 2023 melalui Instagram, namun tidak pernah melihat wajahnya.
Pada 14 Mac lalu mangsa diugut oleh tertuduh untuk menyerahkan sejumlah wang jika tidak mahu gambar bogelnya disebarkan.
Mangsa yang ketakutan kemudian bertindak mencuri wang ibunya dan memberikannya kepada tertuduh dengan menggunakan khidmat pemandu e-hailing.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukumannya diringankan dengan alasan masih belajar dan perlu menjaga ibu bapanya yang sudah berusia.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri bagaimanapun memohon hukuman setimpal diberikan sebagai pengajaran.
Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh membayar denda sebanyak RM2,500 atau tiga bulan penjara jika gagal bayar. – KOSMO! ONLINE