KUALA KANGSAR – Sebuah pasar raya di Kuala Kangsar Prima di sini yang melakukan jualan murah tanpa memiliki permit bagi tujuan tersebut dikenakan tindakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak kira-kira pukul 11 pagi semalam.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, sepasukan anggota penguat kuasanya dari Cawangan Kuala Kangsar telah melakukan operasi pemeriksaan ke atas pasar raya itu berhubung satu iklan jualan murah barang kawalan gula dengan harga 10 sen sebungkus yang tular di media sosial.
Katanya, melalui aduan orang awam tersebut, harga gula yang ditawarkan disifatkan mereka sebagai berpatutan dan hanya terhad untuk 200 pelanggan pertama sempena perbukaan cawangan terbaharu pasar raya tersebut.
“Pasar raya ini juga mempunyai rangkaian cawangan di seluruh negara. Pemeriksaan ke atas premis juga mendapati selain barang kawalan gula turut diadakan jualan murah adalah air tin berkabonat dengan harga 99 sen dan masih menjualnya pada harga berkenaan sejak 16 Mac 2024.
“Semakan awal mendapati pihak pasar raya disyaki tidak membuat permohonan untuk mengadakan jualan murah bagi tempoh jualan melebihi tiga hari sempena pembukaan cawangan baharu mereka di bandar ini,” katanya di sini hari ini.
Kamalludin berkata, ia adalah satu kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Harga Jualan Murah) 1997 (Pindaan) 2019.
Menurut beliau, pemeriksaan lanjut yang dijalankan oleh pasukan serbuan juga mendapati, pasar raya itu disyaki tidak memiliki lesen runcit (CSA) untuk menjual gula, minyak masak dan tepung (GMT) seperti yang diperuntukkan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 laitu berniaga barang kawalan tanpa lesen.
“Sehubungan itu, tindakan sitaan telah diambil ke atas barang kawalan gula, minyak masak, tepung, resit jualan dan dokumen-dokumen berkaitan dengan nilai sitaan berjumlah RM200.
“Kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika disabitkan kesalahan tidak memiliki Lesen Runcit untuk menjual gula, minyak masak dan tepung bagi sesuatu pertubuhan perbadanan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta.
“Manakala bagi kes tidak mengemukakan permohonan jualan murah akan disiasat di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 dan jika disabitkan dengan kesalahan bagi suatu pertubuhan perbadanan boleh didenda tidak melebihi RM25,000,” katanya. – KOSMO! ONLINE