fbpx

Pan-gon: Misi Harimau Malaya makin sukar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PAN-GON (dua dari kiri) menuntut anak-anak buahnya agar memberikan persembahan sehabis baik dalam dua aksi terakhir kelayakan pada Jun nanti. – SHIDDIEQIIN ZON

IMPIAN skuad Harimau Malaya untuk melangkah ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 tampak seperti misi mustahil susulan tewas 0-2 kepada Oman di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur kelmarin.

Perkara tersebut diakui ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon, tetapi menyeru agar barisan pemainnya tidak mengangkat bendera putih terlalu awal dengan berjuang pada baki dua aksi peringkat kumpulan.

Kata Pan-gon, kekalahan itu sememangnya meletakkan skuad negara di kedudukan yang sukar selepas memilih jalan berliku apabila misi mencuri mata berharga tidak kesampaian.

“Ini adalah perlawanan yang sukar dan kita sepatutnya memberikan keputusan yang lebih baik kepada penyokong bola sepak negara.

“Namun, kita perlu terus pandang ke depan dan ada dua lagi perlawanan yang perlu ditempuhi meskipun mengharapkan sesuatu yang luar biasa nanti.

“Saya yakin pemain tidak akan menyerah kalah dan berjuang sehingga ke perlawanan terakhir dan kekalahan ini bukanlah peng­hujung dunia,” katanya selepas tamat perlawanan.

Mengulas lanjut, pengendali import dari Korea Selatan itu mengakui aksi bertemu Kyrgyzstan di tempat lawan bakal menjadi penentu pasukan untuk mara ke pusingan seterusnya.

“Situasi paling ideal adalah kita melakar kemenangan pada dua perlawanan terakhir dan jika ia berlaku, seratus peratus pasukan akan layak (ke pusingan kelayakan seterusnya).

“Namun, ia bukanlah tugas mudah kerana kita bakal bertemu Kyrgyzstan di tempat lawan dan perlukan keajaiban untuk mengutip mata di sana,” katanya.

Malaysia kini menduduki tangga ketiga Kumpulan D pada saingan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 dengan aksi bertemu Kyrgyzstan dan Taiwan dijadualkan berlangsung pada Jun depan.

Dua pasukan teratas setiap kumpulan bakal meraih slot automatik ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026, sekali gus berada dalam kelompok 18 negara terbaik rantau Asia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI