PETALING JAYA – Bagi menghapuskan salah tanggapan mengenai pengeluaran minyak sawit dalam kalangan belia, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), REGENERASI telah melancarkan kempen #MYPalmPride pada 1 Mac lalu.
Objektif kempen yang berlangsung sehingga 31 Ogos depan itu juga ingin menggalakkan kemampanan pengeluaran minyak sawit di Malaysia sekali gus menekankan sumbangan positifnya kepada ekonomi dan alam sekitar.
Presiden REGENERASI, Datin Emilia Uzir berkata, golongan belia hari ini bertanggungjawab menentukan masa depan yang lebih mampan untuk perkembangan negara lebih baik.
“Belia adalah kuasa hari ini dan masa depan. Kami membayangkan belia sebagai pembawa obor pembangunan mampan, mereka bukan sahaja menjadi penerima manfaat tetapi ‘arkitek’ pembangunan di dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kempen #MYPalmPride ini turut disertai oleh tujuh ahli Majlis Belia REGENERASI yang berpangkalan di Malaysia, berperanan sebagai penyokong kelestarian amalan minyak sawit.
Antaranya, Presiden Majlis Belia REGENERASI, Hoh Jia Da, Timbalan Presiden Majlis Belia REGENERASI, Latt Omar Datuk Latt Shariman dan Naib Presiden Pemuda Majlis REGENERASI, Hiffni Ariff Normas Yakin.
Kempen ditumpukan di media sosial dan pelbagai platform digital bagi mengalakkan golongan belia untuk menyokong dan menyertai misi ini.
“Semua belia juga diseru untuk mengambil bahagian secara aktif dalam pelbagai aktiviti dan pertandingan sepanjang tempoh kempen, melalui media sosial REGENERASI,” katanya.
Pertubuhan REGENERASI ditubuhkan pada 2022, memfokuskan misi kemampanan masa depan, memberi tumpuan kepada bidang penjanaan semula, dan keselamatan makanan dalam kalangan golongan belia. – KOSMO! ONLINE