SEREMBAN – Keluarga pemandu treler yang maut dalam keadaan rentung susulan kemalangan di Kilometer 255, Lebuh Raya Utara-Selatan (arah utara), di sini, petang semalam berharap agar keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dapat dipercepatkan bagi mayat berkenaan.
Abang sulung mangsa, Mohd. Harith Khamaruddin, 36, berkata, treler yang terbabit dalam nahas berkenaan telah disahkan dipandu oleh adiknya, Muhammad Hannah Khamaruddin, 29, dan dalam perjalanan menghantar barangan dari Selangor ke Johor.
Menurutnya, disebabkan keadaan adiknya yang rentung itu, mayat berkenaan tidak dapat dikenal pasti serta memerlukan keputusan DNA dalam tempoh satu hingga ke tiga minggu bagi pengesahan dan tentunya proses itu mengambil masa agak lama.
“Ibu memang tak dapat terima keadaan adik, namun kami sekeluarga reda dengan apa yang terjadi. Kkami tiga beradik dan adik merupakan yang bongsu paling manja dan rapat dengan ibu. Boleh dikatakan dia anak ibu.
“Hari-hari nak hubungi ibu, buat panggilan video. Kali terakhir dia pulang ke kampung di Felda Sri Ledang, Johor, bertemu mak dan ayah sebelum puasa. Saya pula Ahad lalu kami berbuka bersama-sama di Shah Alam,” katanya ketika ditemui di perkarangan Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di Seremban, di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE