PETALING JAYA – “Ada wanita yang mesej saya dalam Instagram (DM) untuk tawarkan diri jadi nombor dua (isteri kedua), termasuk ibu tunggal yang sudah ada anak tiga.”
Demikian pendedahan pelakon Siti Elizad apabila menerima mesej daripada pengikutnya dalam Instagram yang sanggup untuk bermadu dengannya, atas alasan dirinya belum dikurniakan zuriat selepas hampir 10 tahun mendirikan rumah tangga.
Elizad atau nama lengkapnya Siti Elizad Mohd. Sharifuddin, 39, ketika ditemui berkata, dia bagaimanapun tidak mengambil serius tentang tawaran tersebut, namun mengakui ada meminta suaminya untuk berterus-terang jika mahu berkahwin lagi disebabkan zuriat.
“Ada yang sanggup untuk jadi isteri kedua. Macam-macam. Tapi saya tidaklah ambil perkara itu serius sangat. Tapi saya ada tanya sendiri pada suami, kalau sebab anak dia nak kahwin lagi, beritahu. Saya tak nak gaduh-gaduh.
“Kalau betul dia nak pergi dekat orang lain (berkahwin lagi) sebab anak, saya reda. Sebab saya tahu saya ada kekurangan. Sedangkan suami sudah ada dua cahaya mata (hasil perkahwinan terdahulu),” katanya kepada Kosmo! Online.
Berkongsi lebih lanjut, Elizad berkata, selepas melakukan pelbagai ikhtiar, termasuk menjalani rawatan kesuburan in-vitro (IVF) sebanyak dua kali, namun tetap belum dikurniakan rezeki anak, dia kini sudah berada dalam fasa reda, walaupun tidak menentu.
Kata Elizad, jika hari ini dia berkata dirinya okey, namun bila melihat kawan-kawan lain berkongsi (kehamilan) dalam media sosial, keinginan untuk memiliki cahaya mata itu timbul semula.
“Sebagai orang perempuan, kadang-kadang perasaan itu tak menentu. Kalau hari ini saya kata okey, esok lain pula.
“Tapi kalau ikutkan saya sudah masuk ‘musim’ reda. Namun bila tengok kawan-kawan kongsi kehamilan mereka dalam media sosial, perasaan itu datang balik.
“Tapi sejujurnya, saya sudah reda dan enjoy. Maksudnya kalau kata ada (rezeki anak), adalah. Tapi kalau tiada, saya okey sahaja,” jelasnya.
Pun begitu, Elizad ketika ditemui pada majlis Rasa Bubur Lambuk dan Kuih Warisan di I-City, Shah Alam, baru-baru ini berkata, dia masih lagi mencuba, walaupun tidak terlalu berharap seperti sebelum ini.
“Sebelum ini saya memang rajin bertanyakan petua dengan kawan-kawan. Saya jadi ‘detektif’ duduk depan laptop dan cari petua untuk hamil. Saya sudah jelajah seluruh pelusuk Malaysia untuk berubat, selain buat ujian IVF.
“Tapi belum ada rezeki. Doktor beritahu, saya dan suami sihat dan tidak ada apa-apa masalah. Cuma Allah kata belum ada rezeki lagi. Itu sahaja.
“Sekarang pun saya masih lagi mencuba. Tapi tidaklah macam dulu. Kalau sebelum ini, akhir bulan mesti saya akan periksa sama ada hamil atau tidak. Tapi sekarang tidak lagi. Apa-apa pun, saya bersyukur diberikan seorang suami yang prihatin, serta adik beradik yang sentiasa memberi saya semangat,” katanya.
Walaupun mengakui kadang-kala berasa sunyi tanpa zuriat, namun pelakon filem Berlari Ke Langit itu tidak merancang untuk mengambil anak angkat, kerana perkara tersebut bakal membabitkan perasaan banyak pihak.
“Kadang-kadang rasa sunyi duduk rumah. Ada juga keluarga yang cadangkan untuk ambil anak angkat.
“Tapi saya dan suami masih belum lagi terfikir untuk ke fasa itu. Sebab perkara ini membabitkan keluarga kedua-dua belah pihak,” katanya.
Seputar info, Elizad pernah menjalani rawatan kesuburan in-vitro (IVF) IVF pertama pada Februari 2020 sebelum disahkan mengalami keguguran pada November tahun yang sama.
Pada Mac 2022, dia memaklumkan kembali menjalani rawatan IVF kali kedua dalam usaha mendapatkan cahaya mata.
Elizad mendirikan rumah tangga bersama suami, Shamsul Baharin Rahman pada 11 Januari 2015. – KOSMO! ONLINE