KUALA LUMPUR – Kes jenayah komersial dari 1 Januari hingga 24 Mac tahun ini menunjukkan penurunan sebanyak lapan peratus iaitu 7,348 kes dengan nilai kerugian RM770.5 juta berbanding 7,986 dengan kerugian RM407.08 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, biarpun ia menunjukkan penurunan di minggu ke-12, namun nilai kerugian mencatatkan peningkatan 89 peratus.
Katanya, dari aspek pertuduhan, sejumlah 3,785 (52 peratus) kertas siasatan berjaya dituduh berbanding 3,463 (43 peratus) dalam tempoh sama.
“Sepanjang minggu kajian bermula 18 hingga 24 Mac 2024, sejumlah 688 kes direkodkan dengan kerugian RM 38.54 juta yang mana belian secara dalam talian membabitkan 101 kes melibatkan nilai kerugian RM 664.67 juta.
“Seterusnya, penipuan pelaburan merekodkan jumlah kerugian tertinggi berbanding lain-lain modus operandi jenayah komersial dengan nilai RM10.94 juta (59.5 peratus) daripada jumlah keseluruhan kerugian yang dicatatkan pada minggu kajian,” katanya.
Jelas Ramli, seramai 47 lelaki turut menjadi mangsa penipuan pelaburan daripada sejumlah 96 kes yang dilaporkan.
“Analisis yang dijalankan terhadap kes-kes penipuan pelaburan mendapati aplikasi Telegram, Facebook dan WhatsApp merupakan tiga medium utama yang digunakan oleh sindiket penipuan pelaburan untuk mencari mangsa.
“Sepanjang minggu kajian, sejumlah 39 kes penipuan pelaburan yang dilaporkan adalah berpunca daripada tawaran melalui aplikasi Telegram, manakala tawaran melalui Facebook dan WhatsApp masing-masing mencatatkan sejumlah 21 dan 17 kes,” ujarnya.
Justeru itu, beliau mengingatkan pengguna aplikasi-aplikasi ini untuk sentiasa berhati-hati dan tidak mudah mempercayai tawaran pelaburan yang diiklankan. – KOSMO! ONLINE