KINABATANGAN – Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) mencadangkan kerajaan menukar peta Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) kepada warna putih berbanding merah ketika ini dan menamakannya kawasan kesejahteraan.
Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos berpendapat, cadangan berkenaan mampu mengangkat semula imej ESSZONE selaku kawasan selamat dan sejahtera di semua peringkat.
“ESSCOM memberikan cadangan kepada kerajaan untuk menukar peta ESSZONE yang kini menggunakan warna merah kepada warna putih.
“Selain itu, kita turut mencadangkan agar menamakan kawasan berkenaan sebagai kawasan kesejahteraan supaya dapat tingkatkan keyakinan ia selamat kepada semua,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sesi Libat Urus ESSCOM bersama Komuniti ESSZONE Daerah Kinabatangan di Dewan Sri Lamag hari ini.
Menurut Victor, selain itu, ESSCOM turut memanggil duta-duta asing datang melawat ke kawasan pantai Timur Sabah untuk melihat sendiri sendiri keindahan dan kesejahteraan di ESSZONE.
Mengulas lanjut, Victor berkata, tujuan libat urus diadakan untuk meneliti penerimaan masyarakat dan kumpulan sasar dalam sektor perdagangan, perniagaan, perikanan, pelancongan serta pendidikan terhadap langkah penjenamaan semula Perintah Berkurung kepada Perintah Kawalan Pergerakan ESSZONE Sabah, menganalisis keberkesanan pelaksanaan arahan berkenaan. – KOSMO! ONLINE