fbpx

Empat pertuduhan suapan kembali ke Mahkamah Sesyen, Muhyiddin fail semakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhyiddin.

PUTRAJAYA – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengemukakan permohonan kebenaran untuk memulakan semakan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengembalikan empat pertuduhan suapan berjumlah RM232.5 juta ke Mahkamah Sesyen.

Muhyiddin, 77, selaku pemohon memfailkan notis usul berhubung semakan itu di pejabat pendaftar, Mahkamah Rayuan di sini semalam menerusi Tetuan Chetan Jethwani & Company dengan menamakan pendakwa raya sebagai responden.

Berdasarkan notis usul permohonan tersebut, Ahli Parlimen Pagoh itu memohon mahkamah menyemak keputusan yang telah disampaikan panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail, Datuk Azmi Ariffin dan Datuk S.M Komathy Suppiah pada 28 Februari lalu.

Pada hari berkenaan, rayuan responden telah dibenarkan yang mana keputusan Mahkamah Tinggi pada 15 Ogos 2023 yang melepas dan menbebaskan Muhyiddin telah diketepikan.

Muhyiddin memohon untuk mengetepikan keseluruhan keputusan Mahkamah Rayuan dan mengembalikan perintah yang telah dibuat oleh Mahkamah Tinggi.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin melepaskan dan membebaskan Muhyiddin setelah mendapati keempat-empat pertuduhan dihadapi adalah kabur dan tidak berasas kerana ia tidak menyatakan butiran kesalahan dilakukan.

“Alasan-alasan bagi menyokong notis usul ini telah dihuraikan dalam afidavit pemohon, yang mana keputusan tersebut adalah tidak sah dan/atau menyalahi undang-undang. Ini kerana, ia dibuat tanpa bidang kuasa seperti yang dikehendaki di bawah Seksyen 50(1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964,” kata notis berkenaan.

Pada 28 Februari, Mahkamah Rayuan di sini hari ini memutuskan empat pertuduhan ke atas Muhyiddin yang menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta adalah kekal.

Keputusan sebulat suara itu dibuat oleh panel tiga hakim diketuai Hadhariah Syed Ismail selepas membenarkan rayuan pendakwa raya agar kes tersebut dikembalikan ke Mahkamah Sesyen untuk tindakan lanjut.

Dengan keputusan itu, panel berkenaan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang melepas dan membebaskan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu daripada empat pertuduhan tersebut.

Semasa menyampaikan keputusan sebulat suara itu, Hakim Hadhariah berkata, keempat-empat pertuduhan terhadap Muhyiddin adalah jelas.

Mengikut empat pertuduhan itu Muhyiddin, 77, didakwa sebagai Perdana Menteri (ketika kejadian) dan Presiden Bersatu menggunakan kedudukannya untuk suapan masing-masing RM200 juta, RM1 juta, RM19.5 juta dan RM12 juta yang kesemuanya berjumlah RM232.5 juta yang diterima daripada tiga syarikat dan seorang individu bagi Bersatu.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya pada 1 Mac 2020 hingga 20 Ogos 2021.

Oleh itu, Muhyiddin didakwa di bawah seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda.

Sebelum ini Pada 15 Ogos tahun lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengesahkan telah memfailkan notis rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membebaskan Muhyiddin atas empat pertuduhan tersebut.

Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun berkata permohonan yang diputuskan mahkamah hanya berkenaan dengan empat pertuduhan bagi kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM, tiga lagi pertuduhan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 masih kekal.

Idrus memberi kenyataan itu ketika merujuk kepada keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Muhammad Jamil yang membenarkan permohonan Muhyiddin untuk membatalkan empat pertuduhan predikat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM dan seterusnya memerintahkannya dilepas dan dibebaskan daripada keempat-empat pertuduhan predikat tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI