fbpx

Bernas ceriakan golongan kurang berkemampuan menjelang Aidilfitri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Solhi (dua kiri) bersama Kuzaimah dan kakitangan Bernas menyantuni sebahagian asnaf yang membeli pakaian raya dalam Majlis Gema Ramadan Ikhlas Ceria Raya di Alor Setar, hari ini. - Foto oleh SHAHIR NOORDIN / KOSMO!

ALOR SETAR – Padiberas Nasional Berhad (Bernas) menerusi program tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) terus menceriakan golongan kurang berkemampuan sempena Ramadan dan menjelang Aidilfitri ini.

Ketua Jabatan Pengurusan Bekalan dan Skim Bernas, Mohamad Solhi Mohd. Salleh berkata, pihaknya menyantuni seramai 50 penerima daripada 10 keluarga yang tinggal di sekitar Kuala Sungai Daun, Yan dekat sini.

Katanya, sumbangan melalui Majlis Gema Ramadan Ikhlas Ceria Raya itu menyaksikan warga Bernas membawa kesemua penerima berbelanja pakaian raya baharu di sebuah pusat beli-belah di bandar raya ini.

“Program ini yang kedua tahun ini selepas diadakan di Kuching, Sarawak pada 23 Mac lalu. Kita juga sediakan dan agih bubur lambuk kepada orang ramai disusuli majlis iftar di Masjid Al-Ridhwan.

“Cuma sebagai tambahan di Kedah, kami memasukkan aktiviti membeli-belah kepada keluarga asnaf terpilih yang berada di sekitar Kilang Bernas Sungai Limau,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Terdahulu, beliau bersama Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Bernas, Kuzaimah Idris dan kakitangan syarikat itu membantu para penerima memilih pakaian raya baharu untuk dipakai pada 1 Syawal nanti.

Menurut Mohamad Solhi, di samping aktiviti sempena Ramadan dan Aidilfitri, Bernas juga sentiasa melaksanakan pelbagai program yang memanfaatkan petani khususnya dan komuniti sekitar mereka.

“Antaranya Program Makanan Kesihatan (Promak) untuk sekolah rendah terpilih yang menyediakan makanan seimbang kepada murid-murid sejak 2002.

“Selain itu, khusus untuk petani kita ada Program Rakan Ladang (PRL) yang sentiasa mendekati para pesawah untuk meningkatkan taraf hidup sebagai tanda terima kasih atas sokongan kepada Bernas selama ini,” ujarnya.

Sementara itu, penerima, Mohd. Zakir Omar, 47, yang melakukan kerja-kerja kampung bersyukur kerana persediaan raya untuk mereka sekeluarga pada kali ini dilengkapi pakaian baharu menerusi pemberian Bernas pada program itu.

“Dapatlah tukar baju baharu selepas lama tidak merasainya, kebiasaannya juga sumbangan seperti ini hanya diberi kepada kanak-kanak tetapi Bernas unik kerana libatkan sekali kami ibu bapa untuk membeli baju baharu,” katanya yang hadir bersama isteri dan tiga anak. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI