SUBANG JAYA – Trauma rumah dimasuki perompak, usahawan sensasi Liana Rosli merancang menggunakan khidmat pengawal peribadi dan pemandu sebagai langkah berjaga-jaga.
Katanya, tidur malamnya menjadi tidak lena walaupun suspek sudah diberkas polis dan kini berada dalam tahanan.
“Sejujurnya saya syukur sangat tetapi pada masa sama masih trauma apabila sampai sekarang sukar melelapkan mata.
“Saya takut kalau pejam mata mereka datang ke rumah walaupun sekarang semua perompak itu sudah ada dalam penjara.
“Kesemua suspek mengaku follow saya dalam media sosial, jadi kalau perlu saya akan dapatkan khidmat bodyguard dan pemandu peribadi ke mana-mana,” katanya ketika ditemui pada majlis buka puasa bersama Starvendors, semalam.
Enggan lagi dihantui ketakutan, anak kepada dramatis Normah Damanhuri itu juga kini dalam proses berpindah ke kediaman baharu yang akan dirahsiakan lokasinya.
Bahkan, sebagai langkah keselamatan dia tidak mahu berkongsi lagi perkara peribadi kepada umum dengan menapis konten dalam laman sosial.
“Saya akan pindah rumah selepas ini. Rumah yang sedia ada saya akan pastikan pintu tingkap semua akan ditutup.
“Ini juga pengajaran kepada saya supaya sekat semua perkara, tak boleh tunjuk sangat. Rumah baharu nanti mungkin hanya kongsikan bahagian dalam sahaja,” ujarnya.
Pada masa sama Liana yang mesra disapa Kak KM berterima kasih dengan tindakan pantas pihak berkuasa menahan suspek.
Dalam kejadian 3 Mac lalu, kediaman usahawan terbabit dimasuki perompak ketika mereka sekeluarga menghadiri konsert Rock Legenda Berzaman.
Terdahulu, pihak polis menerima laporan daripada seorang wanita berhubung satu kejadian pecah rumah di Padang Balang, Sentul.
Hasil pemeriksaan mendapati sebuah peti besi mengandungi jongkong emas dan wang bernilai RM3 juta dilarikan bersama beberapa beg tangan pelbagai jenama serta barangan kemas.
Anggaran kerugian yang dilaporkan berjumlah RM3.5 juta dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Begitupun, penahanan beberapa lelaki membawa kepada penemuan sebahagian barang kemas dan peti besi miliknya di dasar Sungai Sembrong, Batu Pahat, Johor. – KOSMO! ONLINE