JOHOR BAHRU – Tiga individu termasuk seorang pemilik syarikat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dakwaan membuang sisa pepejal pembinaan di lokasi tidak dibenarkan di Pontian, tahun lalu.
Ketiga-tiga mereka didakwa secara berasingan di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.
Dua daripada tertuduh, Tan Hock Lai, 45, dan Chia Vui Shan, 30, mengaku bersalah, manakala seorang lagi tertuduh iaitu Wong Wai Heng, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah.
Che Wan Zaidi menjatuhkan denda RM30,000 kepada Hock Lai, manakala denda RM15,000 pula dikenakan kepada Vui Shan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Hock Lai didakwa telah melonggokkan sisa pepejal di tanah lot 2030, Mukim Rimba Terjun, Pontian pada pukul 2.30 petang, 20 Jun tahun lalu.
Vui Shan pula didakwa melakukan perbuatan sama di tanah lot 5877, GM 6012 Mukim Rimba Terjun, Pontian pada pukul 1.25 petang, 15 Ogos tahun lalu.
Manakala Wai Heng pula didakwa melakukan perbuatan sama di Tanah Kerajaan (Rizab Jalan) Mukim Jeram Batu, Pontian pada pukul 11 pagi, 4 Julai tahun lalu.
Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 71(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 71(8) akta sama yang memperuntuk hukuman denda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak kurang enam bulan atau tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Bahagian Undang-Undang Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nor Iffa Zarilla Abd. Rahman, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian turut menetapkan tarikh 6 Mei depan untuk sebutan semula kes bagi Wai Heng.
Sementara itu, Pengarah SWCorp Johor, Zainal Fitri Ahmad pula memberitahu, sejak 2018 hingga 26 Mac, pihaknya telah mendakwa seramai 44 individu dan 12 buah syarikat telah didakwa di mahkamah dengan jumlah denda terkumpul sebanyak RM919,000.
“Selain itu, sebanyak enam lagi kes melibatkan pembuangan sampah secara haram sedang dalam proses pendakwaan di mahkamah negeri ini,” katanya.-KOSMO! ONLINE