fbpx

Sindiket ‘e-Reporting’ lesapkan hampir RM2 juta sejak 2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sindiket menyamar sebagai polis dan menggunakan latar belakang balai ketika melakukan panggilan video bersama mangsa.

KUALA LUMPUR – Hampir RM2 juta kerugian direkodkan dalam penipuan sindiket ‘e-Reporting’ yang dikesan aktif sejak pertengahan tahun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, portal atau kemudahan e-Reporting telah dibangunkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memudahkan orang awam membuat laporan berkaitan kehilangan dokumen atau barangan yang tidak berkait dengan jenayah.

Bagaimanapun, pendekatan ‘e-Reporting’ in telah diguna pakai sindiket untuk menakutkan dan menipu mangsa terlibat.

Katanya, pihaknya menerima sebanyak 48 laporan membabitkan modus operandi sedemikian dan kerugian dianggarkan cecah RM2 juta.

“Sepanjang tahun 2023, sejumlah 34 laporan polis telah diterima berkaitan modus operandi ini melibatkan nilai kerugian RM1,011,110.

“Bagi tahun 2024, sehingga 14 Mac, sejumlah 14 laporan polis telah diterima melibatkan nilai kerugian RM960,500,” katanya ketika sidang akhbar di Menara KPJ, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai modus operandi, beliau berkata, sindiket ini akan membuat panggilan video untuk meyakinkan dan memperdaya mangsa untuk membuat bayaran atau pindahan wang.

Pada awalnya, mangsa akan menerima panggilan telefon dari individu yang menyamar sebagai pegawai daripada syarikat kurier seterusnya mewujudkan satu situasi yang menjadikan mangsa panik dan menurut semua arahan yang diberikan.

“Panggilan akan disambungkan kepada pihak ‘polis’ secara panggilan video untuk membuat laporan polis secara atas talian (e- Reporting) dan berinteraksi dengan pegawai polis palsu berlatarkan gambar seolah-olah keadaan di balai.

“Mangsa akan berasa selamat dan seterusnya memberikan semua maklumat yang diminta sehinggalah mengakibatkan berlakunya kehilangan wang ringgit,” ulasnya.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai agar lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan modus operandi penipuan sebegini.

“Ketahuilah bahawa polis tidak akan menggunakan panggilan video untuk menerima laporan polis mahupun menjalankan siasatan.

“Sebarang proses siasatan, hanya akan dilakukan secara bersemuka di mana-mana balai polis atau premis milik PDRM,” pesannya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI