KUALA LUMPUR – Gara-gara sebak ketika bercerita tentang nasib anak-anak Palestin sewaktu siaran langsung dalam Instagram baru-baru ini, timbul dakwaan penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dikatakan tidak ikhlas, selain berpura-pura sedih untuk meraih perhatian masyarakat.
Tampil menjawab tuduhan tersebut, Siti, 45, ketika ditemui berkata, dia enggan ambil kisah kerana apa yang dirasai itu hanya diketahui oleh Allah SWT.
“Tak baik kata begitu. Bagi saya, hanya Allah SWT sahaja yang tahu. Mungkin orang tidak merasai apa yang saya rasa, anggap perkara yang berlaku di Palestin okey sahaja dan tidak simpan dalam kepala.
“Tapi saya pula simpan apa yang berlaku di sana dalam kepala. Setiap hari saya tanya keadaan anak-anak Palestin.
“Jadi berhubung dakwaan kata saya tidak ikhlas dan sebagainya, terpulang. Saya tidak perlu membalas apa-apa, sebab apa yang keluar daripada mulut adalah ikhlas tentang apa yang saya rasa,” katanya kepada Kosmo! Online.
Tambah penghibur nombor satu tanah air itu lagi, dia tidak dapat menahan rasa sebak memikirkan nasib anak-anak Palestin, terutama mereka yang belajar di sekolah Afwa Al- Afiyah di bahagian Selatan Gaza.
“Saya sebak memandangkan saya memiliki anak-anak Palestin yang belajar di sekolah Afwa Al-Afiyah. Mereka telah saya anggap sebagai keluarga sendiri.
“Maka secara tidak langsung, memang terkesan juga. Saya memang cepat menangis kalau melibatkan anak-anak. Selain itu, saya juga membayangkan mangsa-mangsa kekejaman tentera Israel itu terdiri daripada golongan wanita.
“Kebanyakan memang golongan ini yang menjadi mangsa, dibunuh dan meninggal dunia. Saya ibu dan ada anak-anak. Bila melihat anak-anak kecil itu, saya teringatkan anak saya, Aafiyah dan Afwa. Saya bayangkan kalau anak-anak saya berada di sana,” jelas Siti semasa ditemui di majlis Iftar Nurjiwa Prihatin di sini, malam tadi.
Tambah pelantun lagu Percayalah itu lagi, turut membuatkan dirinya berasa hiba apabila Allah permudahkan urusan Yayasan Nurjiwa, miliknya bersama suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K.
“MashaAllah, Allah beri peluang kepada saya dan suami untuk buat Kebajikan ini. Orang lain mungkin nak buat tapi kami dapat buat secara terus dengan orang di sana (Gaza) dan bantuan itu sampai.
“Lebih daripada 10,000 orang kami dapat bantu berikan makanan dan kelengkapan lain,” katanya.
Sementara itu, ketika disoal tentang perasaannya apabila bantuan yang disumbangkan turut menjadi bahan pertikaian yang datang daripada pihak yang pernah mencetuskan provokasi sebelum ini, penyanyi itu tidak kisah kerana menganggap pihak yang dimaksudkan itu sengaja melakukannya.
“Saya rasa memang itu kerja dia (melakukan provokasi). Jadi biarkan. Saya lain, kerja saya adalah buat kerja-kerja ini (kerja amal).
“Saya tidak ada masa fikir apa yang mereka cakap, sebab saya ada perkara lebih penting yang perlu saya lakukan,” tegasnya.
Terdahulu, penyanyi kesayangan ramai itu tidak dapat menahan rasa sedih apabila terkenangkan keadaan anak-anak di Palestin ketika mula bercerita tentang bantuan dan juga baju raya yang diberika kepada mereka.
Namun di pertengahan sesi siaran langsung itu, Siti tiba-tiba berasa hiba dan menangis.
“Untuk belikan pakaian buat anak-anak di Rafah bagi menyambut raya nanti dan diberitahu kita dapat bantu beri makan setiap hari.
“Tak boleh kalau cakap pasal Gaza ni memang (menangis). Kita dapat bagi makan lebih 10,000 orang, satu keluarga ada dalam empat, lima orang.
“Sedih sebab saya tak sangka Allah beri peluang untuk saya dan suami bantu penduduk Gaza. Lebih 10,000 orang yang mana sempat kami bagi.
“Sebab itu saya dan suami akan cuba sedaya upaya, kalau boleh kumpul dana kita kumpul secukupnya,” ujarnya sebak.
Siti yang baru sahaja selesai melangsungkan konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 9 Mac lalu telah menyalurkan sebahagian kutipan jualan tiket konsert berjumlah lebih RM1 juta untuk disalurkan ke Palestin. – KOSMO! ONLINE