MELAKA – Seramai 140 anak yatim piatu dan keluarga B40 menzahirkan rasa syukur selepas menerima sumbangan daripada Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) di Masjid As-Salimin, Kampung Kandang di sini pada hari Sabtu lalu.
Sumbangan itu disampaikan melalui program yang dilaksanakan di 32 lokasi seluruh negara melibatkan jumlah keseluruhan penerima seramai 760 orang.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman. Turut hadir Ketua Pengurusan Shariah Permodalan Nasional Berhad (PNB) merangkap Ahli Jawatankuasa Pengagihan Wakaf Bersama ASNB-MAIWP, Dr. Ahmad Basri Ibrahim.
Seorang anak yatim, Muhd. Irdani Arshad, 10, berkata, dia tidak menyangka akan menerima sumbangan barangan persekolahan termasuk beg sekolah
baharu yang memang diperlukannya.
“Saya sampai di program ini awal kerana tidak sabar untuk menerima sumbangan, saya tak sangka dapat beg sekolah baharu,” katanya yang merupakan anak ketiga daripada lima beradik.
Muhd. Irdani menjadi anak yatim ketika usianya baru mencecah sembilan bulan apabila bapanya meninggal dunia disebabkan kemalangan jalan raya ketika pulang dari tempat kerja.
“Sekarang saya dan adik-beradik serta ibu tinggal bersama nenek di Kampung Tambak Sebelong,” katanya.
Rayyan Aqasha Shazly Zhafry, 13, yang turut kehilangan bapa ketika usianya empat tahun juga meluahkan perasaan sama.
“Saya teruja datang sini sebab dapat berbuka puasa bersama kawan-kawan, saya berterima kasih kerana sumbangan itu adalah barang keperluan sekolah yang boleh digunakan,” katanya.
Dalam pada itu, Siti Aisyah Mahat, 36, dan Noorrizah Abd. Ghani, 56, antara penerima B40 yang diraikan pada program tersebut menjelaskan sumbangan berbentuk Kit Syawal sedikit sebanyak dapat menjimatkan kos perbelanjaan dapur.
Menurut mereka, lebihan wang yang ada nanti akan dapat digunakan untuk membuat persiapan menyambut Aidilfitri bersama keluarga dan saudara mara.
“Kami bersyukur dipilih untuk menerima sumbangan ini. Dapatlah bantu kami beli barang untuk raya sebab sekarang ni semuanya mahal, dapatlah ringankan beban kewangan kami,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE