KUALA LUMPUR – Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2024 tidak dapat dimuktamadkan hari ini Dewan Rakyat selepas tidak mendapat persetujuan pembangkang.
Ini kerana dakwa Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, kerajaan gagal mendapat perkenan Majlis Raja-Raja bagi cadangan pindaan baharu seperti termaktub dalam Perkara 159(5) Perlembagaan Persekutuan.
Selain itu katanya, kerajaan juga tidak serius untuk meminda perkara berkaitan kewarganegaraan.
Malah katanya, pembangkang turut mempersoal tindakan kerajaan yang tidak menyelesaikan urusan kerajaan seperti dinyatakan dalam aturan urusan mesyuarat.
“Kami dapat menghidu kerajaan gagal mematuhi kehendak pindaan Perlembagaan, terutamanya adakah cadangan ini mendapat perkenan Majlis Raya-Raja.
“Kami mengatakan demikian berasaskan taklimat Kementerian Dalam Negeri (KDN) kepada pelbagai pihak termasuk ahli Parlimen,”katanya pada sidang akhbar di Parlimen hari ini.
Takiyuddin menambah, taklimat berkenaan menyatakan mereka sudah membentang cadangan itu kepada Majlis Raja-Raja pada 26 Oktober 2023 serta 17 dan 24 Februari lalu.
“Tetapi ketika perkenan diperolehi daripada Majlis Raja-Raja membabitkan lapan pindaan.
“Namun, yang dibentangkan hanya tujuh pindaan sahaja. Kami beranggapan cadangan pindaan terbaru masih belum mendapat persetujuan Majlis Raja-Raja,” katanya.
Terdahulu, RUU Perlembagaan (Pindaan) 2024 berkaitan kewarganegaraan hanya sempat dibaca dua kali dan tidak dimuktamadkan hari ini.
RUU itu dibentangkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail itu dan diputuskan susulan persidangan Dewan Rakyat ditangguhkan pada jam 5.45 petang tadi. – KOSMO! ONLINE