REMBAU – Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara lima bulan selepas mengaku bersalah memukul adik kandungnya di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Firdaus Mohamad Khalil,36, membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Kartini Kasran.
Majistret menetapkan hukuman tersebut bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 24 Mac lalu.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas adik kandung perempuannya berusia 33 tahun dengan cara menumbuk bahagian belakang kepala menggunakan tangan.
Kesalahan itu dilakukan tertuduh kira-kira pukul 6.30 petang 23 Mac lalu di sebuah rumah di Kendong.
Oleh itu, tertuduh telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 326A Kanun Keseksaan
Berdasarkan fakta kes tertuduh menumbuk bahagian belakang kepala adiknya itu sebanyak dua kali di ruang dapur di sebuah rumah.
Tertuduh memukul adiknya itu disebabkan benci berikutan sudah lebih kurang tiga tahun tidak bercakap dengannya.
Tertuduh kemudiannya ditangkap pada pukul 1 pagi di rumah berkenaan oleh pasukan polis. – KOSMO! ONLINE