JAKARTA – Seorang pelancong dari Perancis berusia 43 tahun diusir pulang oleh Pusat Tahanan Imigresen Denpasar (Rudenim) pada Isnin lalu selepas dia enggan membayar denda tinggal lebih masa, lapor akhbar Tribun-bali semalam.
Kejadian berlaku apabila dia berada di Pusat Pemeriksaan Imigresen (TPI) Lapangan Terbang Antarabangsa Gusti Ngurah Rai, Badung, sebelum menaiki penerbangan Air Asia ke Singapura.
Pihak berkuasa imigresen mendapati dia telah melanggar syarat permit dengan tinggal lebih masa selama empat hari.
“Pegawai itu cuba menjelaskan bahawa dia telah tinggal lebih masa dan terpaksa membayar denda sebanyak 1 juta rupiah sehari (RM298.30).
“Pelancong itu mula menunjukkan tingkah laku yang tidak sopan dan enggan membayar denda,” kata pihak berkuasa.
Tindakan tegas telah diambil oleh pihak Imigresen dengan menghalangnya menaiiki penerbangan itu sebelum dia diusir pulang. – AGENSI