RIYADH – Kementerian Sumber Manusia dan Pembangunan Sosial mengumumkan bahawa cuti Hari Raya Aidilfitri untuk para pekerja sektor swasta dan pertubuhan bukan berasaskan keuntungan adalah selama empat hari, lapor portal berita Saudi Gazette.
Menurut kementerian itu, cuti tersebut akan bermula pada 29 Ramadan ini bersamaan dengan 8 April depan.
“Para majikan harus mematuhi syarat yang telah ditetapkan mengikut perenggan kedua dalam Perkara 24 tentang peraturan eksekutif Undang-undang Buruh,” kata kementerian dalam satu kenyataan.
Hari Raya Aidilfitri menandakan berakhirnya bulan suci Ramadan.
Menurut portal berita Gulf News, sepanjang Ramadan, lebih 1.8 bilion umat Islam di seluruh dunia berpuasa dari waktu subuh hingga senja.
Hari Raya Aidilfitri adalah perayaan yang meriah yang disambut oleh umat Islam di seluruh dunia.
Ia adalah masa untuk keluarga dan rakan-rakan berkumpul, bertukar-tukar hadiah, berkongsi hidangan dan menzahirkan rasa syukur atas nikmat yang diterima sepanjang Ramadan. – AGENSI