fbpx

Maritim Malaysia tahan dua kapal pindah minyak tanpa kebenaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DUA kapal tangki ditahan Maritim Malaysia selepas disyaki melakukan aktiviti STS tanpa kebenaran di perairan Kuala Linggi, Alor Gajah, Melaka.

MELAKA – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Melaka dan Negeri Sembilan menahan dua kapal yang sedang melakukan aktiviti pemindahan minyak tanpa kebenaran di perairan Kuala Linggi dekat sini, petang semalam.

Pengarahnya, Kepten Maritim Mohd. Khairi Abd. Aziz berkata, pusat operasi menerima maklumat terdapat aktiviti mencurigakan di kedudukan tiga batu nautika selatan Tanjung Dahan.

Kata beliau, bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Op Murni, Op Tiris dan Op Khas Pagar Laut telah diatur gerak ke kawasan yang dilaporkan dan melihat dua kapal merapat antara satu sama lain disyaki melakukan aktiviti Ship To Ship (STS) yang mencurigakan.

“Pemeriksaan mendapati kapal tangki sedang memindahkan kargo minyak disyaki minyak mentah kepada sebuah kapal tangki lain tanpa sebarang dokumen kebenaran untuk menjalankan aktiviti terbabit.

“Kapal tangki pertama sepanjang 60 meter berdaftar di Panama dikendalikan oleh 26 kru termasuk nakhoda membabitkan warga China seramai 16 orang, Sri Lanka (empat) dan Myanmar (enam),”katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Tambahnya, kapal tangki kedua sepanjang 43 meter didaftarkan di Palau dikendalikan oleh 22 kru termasuk nakhoda membabitkan 19 warga Rusia manakala tiga lagi masing- masing dari Georgia, Latvia dan Indonesia.

Mengulas lanjut Mohd. Khairi berkata, kedua-dua kapal itu ditahan kira-kira pukul pukul 4.30 petang dan pukul 6 petang.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(K) Ordinan Perkapalan Saudagar (OPS) 1952 kerana menjalankan aktiviti STS tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Laut Malaysia dan 491B(1)(L) OPS 1952 kerana berlabuh tanpa kebenaran.

“Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau keduanya bagi Seksyen 491B(1)(K) OPS1952,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI