KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen (JIM) Kuala Lumpur akan memberi lebih perhatian khususnya majikan yang dilihat turut menjadi penyumbang kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) di ibu negara.
Pengarah JIM Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, pihaknya menetapkan indeks prestasi utama (KPI) bagi penahanan majikan yang melakukan kesalahan terbabit.
“Inisiatif JIM adalah menangani kebanjiran warga asing dengan memberi tumpuan di 20 kawasan ‘hot spot’ di ibu kota seperti Pasar Pudu, Jalan Silang, KLCC dan Kota Raya.
“Di setiap lokasi ini, kita tempatkan seorang pegawai kanan bagi memantau kawasan itu dengan setiap mereka ditetapkan KPI setiap bulan membabitkan tangkapan majikan yang menggajikan PATI,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Iftar bersama Pengamal Media di Pejabat JIM Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Katanya, sebanyak 871 operasi dijalankan pihaknya sepanjang tahun lalu dan ia membabitkan pemeriksaan terhadap 7,601 warga asing serta 2,137 PATI ditahan.
Dalam operasi itu, JIM Kuala Lumpur menahan lima majikan manakala 27 lagi majikan dikenakan kompaun sebanyak RM428,500.
“Bagi tempoh Januari hingga Mac lalu tahun ini, sebanyak 243 operasi dijalankan, 1,716 warga asing diperiksa, 710 PATI serta 44 majikan ditahan.
“Seramai 43 majikan adalah warga tempatan manakala seorang lagi merupakan warga Bangladesh yang melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya.
Tambahnya, 13 kompaun dikeluarkan terhadap majikan dengan kutipan sebanyak RM205,700 bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini.
Sehubungan itu, beliau berkata pengamal media memainkan peranan penting dalam membantu pihak JIM Kuala Lumpur menyalurkan maklumat kepada masyarakat berkaitan warga asing.
“Seramai 2.5 juta warga asing mempunyai permit kerja yang sah di seluruh negara dengan 40 peratus daripada mereka berada di Kuala Lumpur.
“Tidak dinafikan bahawa ramai dalam kalangan masyarakat mempunyai perspektif menganggap semua warga asing adalah PATI tetapi tidak membabitkan Mat Salleh yang dianggap sebagai pelancong.
“Namun, ada dalam kalangan mereka (Mat Salleh) yang sebenarnya adalah PATI kerana tinggal lebih masa serta salah guna pas dengan melakukan kegiatan menyalahi undang-undang.
“Justeru itu, wartawan boleh menjadi mata telinga dan tangan kecil kepada pihak JIM menerusi penulisan berita bagi memastikan PATI tidak selesa berada di negara ini apabila mereka melanggar undang-undang,” tambahnya lagi. – KOSMO! ONLINE