PARIS – Jurulatih Perancis, Didier Deschamps mempertahankan keputusannya untuk tidak menggunakan khidmat pemain pertahanan Arsenal, William Saliba dalam kesebelasan utama Les Bleus.
Keputusan Deschamps nyata tidak dapat diterima sebahagian besar penyokong The Gunners memandangkan Saliba menampilkan aksi cukup baik bersama skuad kendalian Mikel Arteta itu musim ini.
Bagaimanapun, Deschamps menjelaskan, ada beberapa aspek yang tidak digemari beliau dalam corak permainan Saliba sehingga menyebabkan dia tidak banyak diturunkan bersama Perancis sejak kebelakangan ini.
“Dia mengharungi musim yang cukup hebat tetapi dia juga ada melakukan beberapa perkara yang saya tidak gemar. Apabila diturunkan, dia sentiasa melakukan sesuatu yang tidak kena di mata saya.
“Pada ketika ini, situasi semasa tidak memihak kepadanya, tetapi saya tetap panggil dia bersama pasukan. Dayot Upamecano memiliki lebih minit permainan dan menjadi pilihan saya,” katanya.
Justeru, beliau menggesa Saliba supaya memperbaiki segala kekurangan yang ada selain bersaing secara sihat dengan rakan sepasukan lain sekiranya mahu menempatkan diri dalam kesebelasan utama dengan lebih kerap.
“Saya tahu ada sesetengah pemain kekal tenang walaupun jarang diturunkan. Bagaimanapun, Saliba bukanlah pemain seperti itu, jadi dia perlu bekerja lebih keras jika mahu bermain secara tetap,” ujar Deschamps. – AGENSI