LONDON – Liverpool mungkin terpaksa menukar pendekatan mereka dalam usaha mendapatkan pengganti Jurgen Klopp ekoran beberapa kelab gergasi juga sedang berusaha mendapatkan pengendali baharu.
Jurulatih Bayern Munich, Thomas Tuchel akan meninggalkan pasukan itu pada penghujung musim ini selain Xavi juga membuat pengumuman sama pada Januari lalu, namun kelab itu berharap beliau akan mengubah pendirian.
Liverpool dan Bayern ketika ini kuat dikaitkan dengan usaha mendapatkan khidmat pengendali Bayer Leverkusen, Xabi Alonso yang pernah bermain untuk kedua-dua kelab itu, namun gergasi Bundesliga itu dikatakan mendahului saingan.
Berdasarkan sumber, Liverpool bersedia untuk bersaing dengan Bayern untuk mendapatkan Alonso yang diletakkan sebagai sasaran pertama, namun enggan mempamerkan kesungguhan yang melampau dan memasang beberapa strategi lain.
Liverpool akan menggunakan khidmat pengarah teknikal baharu mereka, Richard Hughes yang memiliki hubungan yang cukup baik dengan ejen Alonso iaitu Inaki Ibanez.
Hughes sebelum ini pernah menjalinkan kerjasama ketika menguruskan perpindahan Andoni Iraola ke Bournemouth yang juga merupakan klien kepada Ibanez menyebabkan Liverpool percaya mereka mempunyai peluang mendapatkan Alonso.
Selain Alonso, Liverpool turut menamakan beberapa lagi pengurus lain seperti Roberto De Zerbi dan Ruben Amorim sebagai ‘pelan B’ jika gagal mendapatkan calon yang diidamkan mereka itu. – AGENSI