fbpx

‘Awak masuk ke sempadan salah, bawa lari mangsa pun salah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota polis mengiringi Nor Haznie (kanan) dan Mr. Mayuni untuk didakwa di Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini.

KOTA BHARU – Sepasang suami isteri dihukum penjara 20 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mereka mengaku bersalah menculik dan melarikan seorang lelaki ke Golok, Thailand tahun lalu.

Mr. Mayuni Hayeebuding, 48, yang merupakan warga Thailand dan isterinya, Nor Haznie Che Aziz, 40, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.

Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama dengan tiga orang yang masih bebas didakwa menculik Muhammad Alamin Ismail, 26.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah kedai makan di Kampung Gong Jerat, Pengkalan Chepa di sini kira-kira pukul 1 pagi pada 16 Januari 2023.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Syazalia Che Suhaimin, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Syazalia memohon agar hukuman setimpal dikenakan terhadap kedua-dua tertuduh kerana mangsa yang terlibat mengalami trauma ekoran kes itu.

“Justeru, hukuman yang dikenakan itu mengambil kira kepentingan mangsa dan tertuduh yang melakukan jenayah berat sebagai pengajaran untuk tidak melakukan kesalahan sama,” katanya.

Nor Haznie dalam rayuannya memohon hukuman penjara dikurangkan kerana mempunyai enam orang anak selain pendapatan suaminya yang bekerja sebagai buruh juga tidak menentu.

Rais sebelum menjatuhkan hukuman mengingatkan kedua-dua tertuduh bahawa kesalahan yang dilakukan oleh mereka merupakan satu jenayah.

“Kamu berdua culik dan bawa mangsa ke Golok. Jadi, awak masuk ke sempadan (tanpa dokumen) salah. Bawa lari mangsa ke sana pun salah,” ujarnya.

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara 20 bulan terhadap kedua-dua tertuduh bermula daripada tarikh mereka ditangkap iaitu 17 Januari 2023.

Mengikut fakta kes, pasangan suami isteri itu menculik Muhammad Alamin ketika mangsa berada di sebuah kedai makan di Pantai Sabak di sini kira-kira pukul 12.40 tengah malam pada 16 Januari 2023.

Hasil aduan orang awam, anggota polis kemudiannya menjumpai lelaki itu di sebuah bank di Rantau Panjang di sini kira-kira pukul 9.15 pagi keesokan harinya.

Hasil siasatan mendapati, kedua-dua tertuduh bersama beberapa orang yang masih bebas telah menculik mangsa ketika lelaki itu makan di sebuah kedai sebelum melarikannya ke Golok.

Kejadian itu disahkan oleh dua lelaki masing-masing berusia berusia 48 dan yang sedang makan di lokasi sama.

Mereka melihat Muhammad Alamin dibawa oleh kedua-dua tertuduh dan beberapa individu lain ke dalam kenderaan pelbagai guna jenis Perodua Alza sebelum beredar dari tempat tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI